Duniaku TeknokratPilihan Editor

KWAP Umum Dua Pelantikan Kanan Baharu

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) hari ini melantik Haizad Rizal A Aziz sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu dan Maz Mirza Mohd Aminurashid sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) berkuat kuasa pada 3 Oktober 2022.

KWAP dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, Haizad Rizal mempunyai pengalaman luas menjangkau lebih 20 tahun dengan kepakaran dalam membuat keputusan korporat, penambahbaikan perniagaan, pembangunan strategi kewangan, memacu transformasi dan tanggungjawab fiskal serta integriti dan ketelusan.

“Beliau pernah bertugas selama sedekad di Ireland dan apabila pulang ke tanah air, Haizad memegang pelbagai jawatan penting dalam Kumpulan Perbankan RHB dan seterusnya dilantik sebagai CFO Kumpulan di Kumpulan Syarikat Johawaki.

“Sebelum menyertai Sime Darby Oils pada November, 2021 dengan memegang jawatan yang sama iaitu CFO, beliau pernah memegang jawatan CFO Kumpulan di SME Bank, katanya.

Haizad Rizal adalah Felo Institut Akauntan Bertauliah (Institute of Chartered Accountants, ICAI), Ireland dan memegang ijazah BA (Kepujian), Perakaunan dan Kewangan dari Dublin Business School.

Beliau juga berjaya menamatkan Program Lanjutan Pengurusan dan Kepimpinan Oxford (Advanced Management and Leadership Programme, OAMLP) di Said Business School, University of Oxford, United Kingdom, kata KWAP.

Sebelum menyertai MRT Corp, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Teknologi Maklumat di pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom).

Selain itu, Maz Mirza pernah berkhidmat di beberapa anak syarikat Kumpulan Sime Darby selama 13 tahun, kata KWAP.

Maz Mirza ialah pemegang ijazah kepujian Sains Komputer dari University of Cambridge diperoleh pada tahun 1997.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed berkata: “Menerusi pengalaman dan pemahaman mereka yang mendalam mengenai keperluan untuk pertumbuhan mampan, KWAP yakin bahawa TERAS 5 berperanan mengukuhkan asas KWAP supaya dapat mencatatkan pertumbuhan secara lestari, ia mampu dicapai di bawah kepimpinan yang berdedikasi dan berkebolehan tinggi.”

TERAS 5 adalah program tiga tahun yang berasaskan lima tunggak utama iaitu Struktur, Tadbir Urus, Modal Insan, Proses dan Digital yang akan memacu lapan aliran kerja. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close