Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Berita gembira !
Perubahan bantuan pendidikan yang lebih dinamik dan praktikal !
Ini berikutan inisiatif Kerajaan yang bersetuju untuk melaksanakan penambahbaikan program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP) sekali gus mengurangkan bayaran balik pinjaman pengajian di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA memaklumkan model baharu LSP yang berkuat kuasa mulai Jun ini akan menggantikan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016 berasaskan merit tempat berkhidmat kepada Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik).
Program itu akan dilaksanakan kepada semua pelajar kecuali penerima Dermasiswa.
“Melalui model baharu ini, pelajar tajaan JPA akan menikmati pengurangan bayaran balik berdasarkan pencapaian akademik dengan kriteria tertentu.
“Sementara PNGK 3.50 hingga 3.74 atau setara pelanjutan membuat 10 peratus bayaran balik PBU Akademik, diikuti PNGK akhir 3.00 hingga 3.49 (15 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas atau setara (20 peratus), PNGK akhir bawah 3.00 atau setara atau gagal pengajian (100 peratus),” kata JPA dalam kenyataan hari ini.
“Sekiranya pelajar tidak tamat pengajian atau gagal memenuhi ikatan kontrak, mereka perlu membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman,” katanya.
Mengulas lanjut, JPA berkata, pelajar sedia ada di bawah model PBU 2016, opsyen penukaran kepada PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
“Pelajar PBU 2016 yang sudah tamat pengajian dan kini membuat bayaran balik, diminta menghentikan bayaran balik bermula 1 Jun ini sehingga penukaran opsyen dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026,” kata JPA. – BACALAHMALAYSIA.MY