MalaysiaPilihan Editor

Lulus Pindaan Perlembagaan Parti Bukti Kesepakatan UMNO, Angkat Suara Keramat Akar Umbi

Pindaan Perlembagaan UMNO yang sebulat suara diluluskan hari ini disifatkan oleh ramai pemimpin parti sebagai suara keramat akar umbi yang mahukan kestabilan parti terus kekal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pindaan yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas PRU memberi ruang kepada ahli untuk memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.

“Paling penting, semangat akar umbi diterjemahkan perwakilan hari ini masih kuat dan akan dibawa kepada PRU akan datang,” katanya selepas Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 Mac lepas, Asyraf Wajdi mengusulkan kepada pucuk pimpinan tertinggi supaya pemilihan hanya diadakan selepas setiap PRU bagi mengelak sebarang usaha memporak-peranda dan melemahkan kesepaduan serta kekuatan parti.

Perhimpunan semalam menyaksikan keputusan sebulat suara perwakilan meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO termasuk membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas PRU di bawah Fasal 10.16.

Usul pindaan itu, yang turut membabitkan Fasal 15.3 dan Fasal 18.2, dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir.

Menyifatkan perhimpunan khas itu amat bermakna, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Tan Sri Noh Omar berkata selepas usul tersebut dibentangkan pada perwakilan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden bangun menyokong usul berkenaan.

Beliau berkata kelulusan pindaan juga bukan sahaja mencerminkan setiap keputusan yang dibuat oleh UMNO adalah daripada suara akar umbi malah menunjukkan sokongan padu pelbagai lapisan pimpinan parti.

“Kejayaan ini membuktikan kesepakatan dan perpaduan yang wujud dalam UMNO amat kukuh dan baik,” katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong pula berkata pindaan Perlembagaan UMNO merupakan perkara baharu kepada parti itu terutama dalam memastikan ia dapat memberikan fokus untuk menghadapi PRU.

“MCA sendiri lebih dua tahun lepas telah melalui perkara ini dan ia menunjukkan keserasian kita. Kini UMNO dapat pastikan tumpuan lebih kepada PRU dan bukan kepada pemilihan parti semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO di sini.

Bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, pindaan perlembagaan yang diluluskan hari ini mampu memperkasa parti sebelum PRU serta mengelakkan perpecahan dalam kalangan kepimpinan dan ahli.

“Kita lihat apabila ada pemilihan parti sebelum PRU maka parti akan bertambah lemah sebab yang kalah bertanding, dia akan keluar parti dan bertanding menentang parti.

“Justeru, pindaan ini penting kerana jika selepas PRU baru pemilihan diadakan maka orang Sabah kata lantaklah, apa pun jadi jadilah kerana kita sudah berjaya bentuk kerajaan dan sudah tentu pemilihan parti bukan lagi menjadi keutamaan apabila kita ada kerajaan yang baik,” katanya.

Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO dan ulang tahun ke-76 penubuhan UMNO turut diadakan selepas perhimpunan khas itu. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close