GovernansPilihan Editor

Malaysia Catat Lebihan Dagangan Lebih Tinggi Kepada RM10.4 Bilion Bagi Mei 2020

Lebihan dagangan Malaysia bagi Mei 2020 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 14.7 peratus tahun ke tahun kepada RM10.41 bilion sekali gus merupakan lebihan dagangan tertinggi yang dicatatkan bagi bulan itu sejak Mei 2008.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berasaskan prestasi Mei 2020 itu, Malaysia merekodkan lebihan dagangan melebihi RM10 bilion bagi kali keempat pada 2020.

Beliau berkata bagaimanapun jumlah perdagangan pada Mei 2020 susut 27.8 peratus kepada RM114.96 bilion, berbanding Mei 2019 dengan perdagangan lebih rendah direkodkan terutama dengan Singapura, Thailand, India, China, Jepun dan Indonesia.

“Prestasi ini adalah selari dengan negara-negara serantau lain yang merekodkan penurunan pertumbuhan perdagangan pada Mei 2020 berikutan pandemik COVID-19 yang terus memperlahankan aktiviti ekonomi secara global.

“Eksport berjumlah RM62.69 bilion, menyusut 25.5 peratus manakala import berkurang 30.4 peratus kepada RM52.27 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berbanding April 2020, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing susut sebanyak 13.7 peratus, 3.2 peratus dan 23.6 peratus.

Perdagangan Malaysia bagi lima bulan pertama 2020 mencatatkan pengurangan sebanyak 8.7 peratus kepada RM688.57 bilion berbanding tempoh yang sama 2019, katanya.

Beliau berkata perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, India, China dan Hong Kong manakala kenaikan perdagangan dicatatkan dengan Korea Selatan dan Indonesia.

“Eksport bagi tempoh tersebut menurun 9.7 peratus kepada RM366.16 bilion dan import berkurang 7.5 peratus kepada RM322.41 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM43.75 bilion, menurun 23 peratus berbanding tempoh yang sama 2019,” katanya.

Mohamed Azmin berkata eksport keluaran getah terutama sarung tangan getah mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi dua bulan berturut-turut, meningkat 20.5 peratus atau RM461 juta pada Mei 2020.

Prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan permintaan sarung tangan getah yang mendapat kelebihan daripada pandemik tersebut, katanya.

Beliau berkata namun begitu, eksport barangan perkilangan mencatatkan penurunan sebanyak 23.5 peratus tahun ke tahun kepada RM54.21 bilion.

“Pengurangan barangan perkilangan yang merangkumi 86.5 peratus daripada jumlah eksport adalah disebabkan oleh penurunan eksport barangan elektrik dan elektronik; keluaran petroleum; barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia; serta jentera, kelengkapan dan peralatan,” katanya.

Eksport keluaran pertanian (syer 7.9 peratus) berkurang 21.3 peratus kepada RM4.94 bilion berbanding Mei 2019 berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (syer 5.1 peratus) menyusut 49.1 peratus tahun ke tahun kepada RM3.22 bilion, disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG).

Sementara itu, perdagangan dengan ASEAN menyusut 35.6 peratus tahun ke tahun kepada RM28.11 bilion atau merangkumi 24.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport ke ASEAN menurun 30.6 peratus kepada RM17.19 bilion disebabkan terutama oleh penurunan eksport keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik, barangan besi dan keluli, barangan perkilangan logam dan petroleum mentah,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, bagaimanapun, eksport yang lebih tinggi dicatatkan bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta LNG. Import dari ASEAN menurun 42.2 peratus kepada RM10.92 bilion.

Pada Mei 2020, perdagangan dengan China yang merangkumi 20.7 peratus atau RM23.75 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, menurun 10.6 peratus tahun ke tahun.

Eksport ke China terus mencatatkan kenaikan bagi dua bulan berturut-turut, meningkat 4.5 peratus kepada RM11.78 bilion dengan diterajui eksport barangan perkilangan yang naik sebanyak 9.1 peratus disumbangkan oleh eksport keluaran petroleum, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan lain (SSD).

Import dari China susut 21.7 peratus kepada RM11.96 bilion.

Beliau berkata jumlah perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Mei 2020 yang merangkumi 10.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkurangan 12.5 peratus tahun ke tahun kepada RM12.26 bilion.

Eksport ke AS menyusut 9.3 peratus kepada RM7.09 bilion berikutan penurunan eksport barangan elektrik dan elektronik, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan optik dan saintifik serta tekstil, pakaian dan kasut.

Import dari AS pula turun 16.4 peratus kepada RM5.16 bilion.

Beliau berkata pada Mei 2020, jumlah perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang menyumbang 8.7 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia susut 29.8 peratus tahun ke tahun kepada RM10.01 bilion.

Eksport kepada blok itu bernilai RM5.62 bilion, menguncup 25.4 peratus manakala import dari EU berjumlah RM4.39 bilion, turun 34.8 peratus.

Sementara itu, pada Mei 2020, jumlah perdagangan dengan Jepun berkurang 25.9 peratus tahun ke tahun kepada RM7.97 bilion dan menyumbang 6.9 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport juga menurun 33 peratus kepada RM4.01 bilion manakala import dari Jepun menurun 16.9 peratus kepada RM3.96 bilion.

Perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 66.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia merekodkan pengurangan sebanyak 28.4 peratus tahun ke tahun kepada RM76.3 bilion, katanya.

Beliau berkata eksport ke negara rakan dagang FTA bernilai RM42.76 bilion, susut 26.3 peratus manakala import menyusut 31 peratus kepada RM33.54 bilion, katanya. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close