Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara pada 3 Disember 2024.
Perkara itu diumumkan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) ketika mempengerusikan sementara persidangan Dewan Rakyat ini.
RUU itu diluluskan setelah melalui 12 hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 November lepas bagi setiap kementerian terlibat.
Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober membabitkan peruntukan RM421 bilion, iaitu belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Belanjawan itu menumpukan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan. – BERNAMA