GovernansPilihan Editor

MITI Tumpu Tingkat Keyakinan Pelabur Asing – Zafrul

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang baharu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan tiga keutamaan kementerian itu dalam mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan.

Tengku Zafrul berkata, keutamaan pertama adalah untuk memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama yang teguh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

“Kedua, kita perlu memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI), yang telah lama menjadi pembina utama daya tahan ekonomi, dan juga menjadi antara satu sumber tukaran mata wang asing terbesar negara.

“Ketiga, kita perlu memastikan bahawa penggubalan dan/atau pelaksanaan mana-mana perjanjian perdagangan dua hala mahupun pelbagai hala akan memberikan nilai dan kelebihan yang padu kepada peserta domestik di dalam rantaian bekalan Malaysia terutamanya bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS),” katanya dalam satu kenyataan.

“Melalui Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula di Parlimen, MITI akan mencadangkan pewujudan dana pelaburan khas bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi yang bakal menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi.

“Antara industri berasaskan teknologi lain yang bakal diberi tumpuan termasuk industri aeroangkasa, industri kimia dan petrokimia, teknologi nano, teknologi kesihatan dan pembuatan pintar,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha berkenaan akan dipadankan dengan langkah pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada penstrukturan semula ekosistem perdagangan Malaysia bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Saya juga akan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan di dalam komuniti perdagangan, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa, untuk mengekalkan atau menambah baik daya saing ekosistem perdagangan Malaysia,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close