GovernansMalaysiaPilihan Editor

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Bangkit 6 Isu Besar Pengurusan Pentadbiran & Operasi Kesejahteraan Kesihatan Awam Negara

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengambil berat dan serius terhadap beberapa isu besar pengurusan pentadbiran dan operasi kesejahteraan kesihatan awam yang perlu ditangani secara bijak, berhemah dan kesegeraan walaupun negara ini masih bertungkus-lumus mendepani pandemik COVID-19.

Seiring dengan keprihatinan tinggi terhadap isu besar ini, Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris melahirkan harapan;

PERTAMA, isu kira-kira 35,000 doktor, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang kesemuanya bertaraf kontrak ini hendaklah diperhalusi termasuk skim ini dijadikan lebih bermanfaat dan menyakinkan.

Adalah dicadangkan juga pegawai-pegawai kontrak ini diserapkan secara berfasa mengikut kepentingan dan keperluan tinggi bidang perubatan dan hospital.

Khidmat pegawai-pegawai perubatan ini sangat dituntut pada waktu ini.

KEDUA, isu pengurusan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terutama di Lembah Kelang hendaklah dinilai dan tambahbaik, khususnya proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan serta sokongan anggota “frontliners” yang lain.

Penyebaran maklumat lokasi CAC menerusi pelbagai platform media arus perdana dan media sosial baharu hendaklah dilaksanakan secara meluas dan konsisten.

Orang ramai masih memerlukan maklumat media secara efektif bagi mengelak sebarang kesesakan melampau di CAC tertentu.

KETIGA, pendekatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara terus dari rumah ke rumah, PPV bergerak menggunakan pelbagai jenis kenderaan dengan lebih tuntas serta pemberian vaksin secara serta-merta tanpa melalui MySejahtera, terutama di kawasan luar bandar hendaklah dilaksanakan secara mudah dan dibenarkan.

KEEMPAT, kebenaran bagi pembelian dos vaksin berskala besar perlu dibenarkan secara pemantauan rapi dan selamat kepada semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Berkaitan Pelaburan Kerajaan (GLIC), anak-anak syarikat milik kerajaan negeri dan di bawah kementerian, syarikat-syarikat multinasional dan swasta termasuk syarikat pembinaan, perkilangan dan automotif demi kesejahteraan kesihatan awam pekerja masing-masing.

Tidak terkecuali badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh disasarkan kepada kumpulan tertentu seperti orang tua, gelandangan, Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit-pesakit bersasar, ibu tunggal serta anak-anak yatim.

KELIMA, penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan COVID-19 hendaklah disegerakan berdasarkan makluman awal bahawa pendekatan baharu saringan ini adalah lebih baik, lebih cepat, lebih selamat dan lebih berkesan serta lebih murah.

Moga pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan yang pantas apatah lagi pada waktu pandemik yang semakin memuncak sekarang.

KEENAM, kebenaran penggunaan ubat Ivermectin bagi merawat pesakit COVID-19 yang difahamkan ada keberkesanan yang sangat tinggi.

Kelulusan bagi ubat ini perlu disegerakan kerana difahamkan sudah ada bukti-bukti perubatan di luar negara yang menunjukkan kadar jangkitan harian COVID-19 berjaya dikurangkan seperti di Australia, India, China dan beberapa negara Eropah lain.

Soalnya sekarang ialah ubat Ivermectin ini sudah digunakan sejak tahun 1970-an bagi merawat beberapa penyakit dan wabak lain.

Sehubungan itu, Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berharap enam isu yang dibangkitkan ini hendaklah diberikan keutamaan dalam senarai atas menangani secara bijak dan berhemah bagi pengurusan COVID-19 di peringkat kebangsaan.

“Keputusan yang bijak dan tindakan kesegeraan pada waktunya adalah sangat penting pada ketika ini dan rakyat Malaysia sentiasa menaruh harapan bagi setiap pelaksanaan strategik kesihatan awam di negara ini,” katanya.

Justeru, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut menyokong saranan segera YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membeli mana-mana vaksin yang sedia ada dan telah diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta mempunyai pensijilan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas matlamat memastikan komuniti selamat dilindungi semua. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close