Dimensi BisnesPilihan Editor

Untung Bersih Suku Kedua Dutch Lady Melonjak Kepada RM24.3 Juta

Pengeluar tenusu terkemuka, Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) mencatatkan prestasi kewangan positif pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 apabila untung bersih dan pendapatan, masing-masing melonjak 12.6 peratus dan 3.3 peratus kepada RM24.3 juta dan RM351 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

DLMI dalam satu kenyataan, berkata keuntungan operasi tidak termasuk susut nilai yang dipercepatkan dan sekali sahaja berjumlah RM37.7 juta berbanding RM32.9 juta setahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 17.1 peratus.

“Susut nilai aset sedia ada yang dipercepatkan di kilang Petaling Jaya juga konsisten dengan pengumuman awal berkaitan pelaburan dalam kilang pembuatan baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan,” katanya.

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik, berkata syarikat itu akan terus memastikan rangkaian luas produk mampu milik melalui penetapan harga strategik.

“Syarikat akan terus menguruskan aliran tunainya dengan teliti untuk mengemudi DLMI dalam pasaran yang sukar dan menguruskan pembiayaan dalaman untuk pembinaan kemudahan baharu di Bandar Enstek,” katanya.

Ramjeet berkata, DLMI, peneraju pasaran terkemuka sejak 1963, telah menunjukkan komitmen mendalam kepada negara dengan melabur RM540 juta dalam kilang pembuatan bertaraf dunia baharu yang sedang dalam pembinaan di Bandar Enstek.

“Kilang pembuatan sedia masa hadapan akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2024.

“Kami akan kekal fokus pada misi kami dan pada masa yang sama, mengekalkan margin kasar yang sihat untuk membolehkan DLMI terus melabur dalam aset, jenama dan sumber manusia kami,” katanya sambil menambah ia akan memacu pembabitan jangka panjang untuk menjadikan syarikat sebagai majikan pilihan serta meningkatkan jangkauan pasaran untuk produk tenusu.

Beliau berkata, DLMI kekal optimistik dengan berhati-hati untuk jangka panjang berikutan kekuatan jenama yang teguh dan kesedaran umum yang semakin meningkat tentang keperluan kritikal terhadap nutrisi tenusu di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya kanak-kanak.

“DLMI dalam tahun mendatang akan terus menyokong dan bekerjasama dalam agenda kesihatan kerajaan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit seperti tumbesaran terbantut dan obesiti di kalangan kanak-kanak.

“DLMI juga terus komited dalam menyokong kerajaan untuk mencapai tahap kecukupan kendiri (self-sufficiency) pada 100 peratus dalam pengeluaran susu segar tempatan dengan meningkatkan kemahiran penternak tenusu tempatan untuk meningkatkan kualiti dan jumlah pengeluaran susu.

“Ini adalah sebahagian daripada pendekatan Perkongsian Swasta-Awam DLMI untuk terus mempertingkat agenda keselamatan makanan negara,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close