Nationwide Express Holdings Bhd telah mencadangkan untuk menjual hartanahnya di Shah Alam, Selangor, pada harga RM19.4 juta, ia akan mengakibatkan kerugian bersih sebanyak RM3.8 juta.
Penyedia perkhidmatan kurier itu berkata hartanah itu, sebuah bangunan pejabat tiga tingkat, gudang berkembar satu tingkat yang didirikan bersama bangunan pejabat dua tingkat dan bangunan tambahan pada tanah perindustrian pajakan telah diiklankan atau dijual sejak enam bulan lepas.
“Pertimbangan (daripada firma hartanah Rubicon Lexington Sdn Bhd) adalah pertimbangan tertinggi yang diterima oleh (unit milik penuh Nationwide Express) Nationwide Express Courier Services Bhd daripada tender tertutup yang dilakukan untuk dilupuskan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Nationwide Express yang disenarai di bawah status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Februari lepas berkata ahli lembaganya percaya penjualan yang dicadangkan itu akan membolehkan kumpulan itu mengewangkan asetnya dan membuka sumber modal daripada terikat dalam aset jangka panjang untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.
“Pelupusan yang dicadangkan juga akan membolehkan kumpulan itu untuk menyelaraskan operasinya dengan memusatkan ibu pejabatnya dan pusat logistik di lokasi yang sama dan dengan itu mengoptimumkan penggunaan aset.
“Dalam pada itu, hasil jualan itu akan menyediakan dana sebagai modal kerja tambahan untuk kumpulan dan ia dijangka akan memberi kesan positif terhadap pendapatan,” katanya.
Perjanjian yang dicadangkan itu tertakluk kepada persetujuan pemegang sahamnya, dijangka selesai pada suku keempat tahun ini, kata syarikat itu. — BERNAMA