Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Pelaburan Microsoft Bukti Keyakinan Pelabur Asing Terhadap Malaysia – Ahli Akademik

Oleh Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur

PENGUMUMAN Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella mengenai komitmen terbesar dalam sejarah 32 tahun syarikat teknologi multinasional di negara ini, kelmarin, sangat signifikan.

Komitmen pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang untuk menyokong transformasi digital tanah air itu diumumkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya dan Program Microsoft Build: AI Day di Kuala Lumpur.

Pelaburan itu meliputi membina infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini, mewujudkan peluang menguasai kemahiran AI untuk 200,000 lagi rakyat, mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI bagi mendorong industri penting mengguna pakai AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara serta menyokong pertumbuhan komuniti pencipta perisian.

Ia diperkukuh dengan kenyataan Presiden Microsoft ASEAN, Andrea Della Mattea yang berbesar hati bekerjasama dengan Malaysia dan memberi sokongan terhadap Rangka Kerja AI Negara, seterusnya meningkatkan daya saing global negara.

Pelaburan terbesar dalam sejarah Microsoft di Malaysia itu bukti keyakinan bukan sahaja syarikat beribu pejabat di Redmond, Washington terbabit, bahkan banyak pelabur asing kepada kekukuhan asas ekonomi dan kestabilan politik negara serta dasar kerajaan jelas dan terarah, terutama sektor awan dan AI serta selari peranan Malaysia sebagai pembekal semikonduktor global hingga menarik minat banyak syarikat teknologi untuk membuat pelaburan besar.

Persoalan sinis terjawab

Beberapa pihak di negara ini dengan sinisnya bertanyakan mengapa Microsoft tidak berminat membuat pelaburan di sini, tetapi memilih dua negara jiran berkenaan. Bagaimanapun persoalan ini terjawab dan pihak sinikal pasti malu sendiri apabila Microsoft ternyata membuat pelaburan lebih besar.

Hakikatnya, pelaburan ini bukanlah kejayaan pertama Malaysia, tetapi sudah beberapa kali berlaku hasil kerja keras Perdana Menteri. Pada 18 Oktober 2022, Amazon Web Services (AWS), bahagian komputasi awan Amazon.com Inc (AMZN.O), pada awalnya mengumumkan rancangan untuk melabur AS$5 bilion (RM23.7 bilion) di Thailand dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Bagaimanapun, di bawah pimpinan Anwar, pada 2 Mac 2023 AWS mengumumkan rancangan untuk membuat pelaburan AS$6 bilion (RM25.5 bilion) di negara ini, lebih tinggi daripada pelaburannya di Thailand, dalam tempoh 14 tahun akan datang bagi mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan awan, sekali gus membuka peluang untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat data Asia Tenggara dan hab digital untuk rantau ini.

Dalam kerangka menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-30 di San Francisco dari 14 hingga 17 November 2023, Anwar sempat bertemu dengan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi, termasuk Google. Hasil pertemuan ini, Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat, mengumumkan ia akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Malaysia pada 16 November 2023 untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital.

Gandingan kerjasama itu bermatlamat untuk membantu perniagaan daripada semua saiz memajukan daya saing digital melalui program kemahiran, pelaburan dalam infrastruktur digital, inovasi AI bertanggungjawab dan dasar mengutamakan awan.

Ia termasuk kerjasama bagi memulakan inisiatif bersama landasan pelancaran AI untuk mencipta pekerjaan baharu, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan membantu syarikat tempatan meneroka pasaran global serta penyediaan peluang peningkatan kemahiran inklusif kepada 300,000 rakyat menjelang 2026 melalui lima kaedah pembelajaran digital tanpa sebarang kos.

Google pada 23 Mac lalu mengumumkan dua inisiatif. Inisiatif pertama membabitkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membolehkan belia tempatan memperoleh kemahiran digital tanpa kos dengan menyediakan hingga 500 biasiswa Sijil Kerjaya Google setiap satu kepada 161 universiti awam (UA), politeknik dan kolej komuniti sehingga akhir 2024.

Inisiatif kedua diperkenalkan Google pula membabitkan Jabatan Digital Negara (JDN), iaitu untuk membolehkan 445,000 pegawai awam menggunakan Google Workspace.

Pada 8 Disember 2023 pula, hasil perbincangan antara Anwar dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Yeoh Seok Hong, NVIDIA sebagai syarikat teknologi multinasional ke-6 terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran bersetuju mengadakan perkongsian strategik dengan YTL Power International untuk membina pusat data AI di Kulai, Johor membabitkan pelaburan AS$4.3 bilion (RM20 bilion).

Selain itu, ia juga akan membantu membangunkan ekosistem AI di negara ini menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI serta pengwujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri.

Semua pelaburan besar syarikat multinasional terkemuka dunia di negara ini adalah bukti pelabur asing semakin yakin dengan kemampuan Anwar mengemudi Kerajaan Perpaduan, mengukuhkan asas ekonomi dan menstabilkan politik negara melalui dasar mantap dan berfokus.

Tepat sekali kata-kata Presiden Microsoft ASEAN terhadap Anwar, iaitu ‘berpandangan jauh’. BH ONLINE

  • Penulis adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Profesor Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close