Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan merangka satu dasar untuk mengukuhkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kebimbangan itu dizahirkan baginda setelah mendapati ada generasi sekarang gagal menguasai bahasa Kebangsaan dan memahami budaya kaum lain.
“Saya perhatikan setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini, yang gagal menguasai Bahasa Kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
“Oleh itu, saya meminta kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
“Pepatah Melayu ada menyebut, meluntur buluh biar dari rebungnya. Yang bermaksud, jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti bentuk mereka sejak dari kecil,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini. – BH ONLINE




