Seorang Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan persoalan mengenai syarikat swasta yang dikaitkan dengan projek 1Bestarinet yang berdepan masalah, apabila ia masih dianugerahkan beberapa tender lain dengan nilai mencecah RM6 bilion.
Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata situasi itu memperlihatkan seolah-olah tiada tindakan diambil terhadap syarikat swasta yang gagal dalam melaksanakan projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion.
Melalui soalan tambah ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Mohd Suhaimi menyatakan rasa kecewanya kerana syarikat berkenaan, YTL Corporation Bhd (YTL) masih diberikan beberapa projek lain bernilai puluhan bilion walaupun dikesan berdepan masalah ketika melaksanakan projek 1BestariNet melalui YTL Communications Sdn Bhd.
“Saya berasa cukup kecewa kerana seolah-olah tiada hukuman kepada syarikat sebegini… selepas dua tahun (kontrak 1BestariNet) ditamatkan pada 2019, projek ‘waste-to-energy’ bernilai RM4.5 bilion diserahkan kepada YTL.
“Jumlah yang saya dapat lebih kurang RM6 bilion, jadi seolah-olah tak ada hukuman langsung dan perkara ini akan berjalan seperti biasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
“Berhubung projek yang mungkin dianugerahkan seperti dinyatakan Langkawi, saya cadangkan supaya Langkawi boleh semak dengan kementerian lain yang terbabit termasuk MOF berkenaan isu terbabit.
“Ia termasuk kenapa projek masih diberikan,” katanya.
Terdahulu, ketika mengulas perkembangan 1BestariNet, Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian kepada jemaah Menteri berhubung penyelesaian dua isu berkaitan projek 1BestariNet itu.
Beliau berkata, dua isu terbabit ialah mengenai kadar sewaan tapak yang tidak dimuktamadkan dan caj elektrik yang disambung di sekolah oleh pihak syarikat bagi tujuan menara komunikasi.
“Selepas 2019, walaupun kontrak ditamatkan, menara itu masih beroperasi untuk tujuan komersial… ini isu legasi yang perlu diselesaikan oleh kerajaan sekarang.
“Pada 2023, apabila kerajaan ini mengambil alih dan tanggungjawab untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan, maka nota jemaah Menteri disediakan dan dalam masa terdekat memorandum jemaah Menteri berkenaan dua isu ini akan dimuktamadkan.
“Komitmen dari kerajaan MADANI adalah memastikan supaya isu lampau ini dapat diselesaikan dan berkenaan siasatan SPRM kami serahkan kepada suruhanjaya itu,” katanya.
Kah Woh berkata, penjanjian 1BestariNet Fasa 2 telah tamat pada 30 Jun 2019, namun selepas perjanjian tamat, terdapat isu yang belum selesai iaitu berkaitan kadar sewaan tapak dan caj elektrik untuk menara 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) membabitkan 2,748 menara.
Namun sehingga kini, katanya tiada tindakan undang-undang sivil difailkan di mahkamah oleh kerajaan.
Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berasaskan awan.
KPM menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL bagi pelaksanaan projek itu.
Menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Kah Woh berkata KPM menggunakan pelantar Dilema bagi meneruskan agenda pendidikan digital selepas penamatan kontrak 1BestariNet pada Jun 2019 dan ia menampakkan keberkesan dalam meneruskan agenda pendidikan digital negara.
“Apabila kontrak 1BestariNet ditamatkan, kita telah gantikan dengan pelantar (Dilema) yang dibangunkan secara ‘in-house’ oleh KPM.
“Sehingga kini kita telah menempatkan 789 buku teks digital asas, 12,762 video pembelajaran dan 170 video podcast pendidikan yang boleh diakses secara percuma oleh guru dan murid.
“Ini adalah tekad dan usaha KPM dalam membangunkan pendidikan digital,” katanya sambil menyuarakan keyakinan bahawa pelantar Dilema telah memberi manfaat yang baik kepada murid dan guru. – BH ONLINE