Kedai RuncitPilihan Editor

Pengguna B40, M40 Dijangka Tumpu Barangan Mampu Milik

Pengguna, terutamanya B40 dan M40 yang lebih sensitif terhadap harga dijangka berbelanja dengan bijak dan beralih kepada lebih banyak barangan mampu milik atau barangan tidak berjenama serta mendapatkan tawaran promosi, kata penganalisis.

Penganalisis AmInvestment Bank, Tan Jia Hui, berkata perbelanjaan penggunaan dalam suku pertama 2024 akan disokong oleh jumlah pengunjung yang lebih tinggi di pusat beli-belah atau cawangan runcit semasa musim perayaan dan sokongan tunai oleh kerajaan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Walau bagaimanapun, beliau berkata sentimen diunjur kekal lemah pada 2024 dengan indeks sentimen pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada suku ketiga 2023 merosot sebanyak 13 peratus kepada 78.9 mata.

Katanya, ia mencerminkan kebimbangan mengenai peluang pekerjaan, kebimbangan inflasi dan pertumbuhan pendapatan.

Jia Hui berkata, pihaknya menjangkakan perbelanjaan pengguna berhati-hati dengan pendapatan boleh guna benar yang lebih rendah dan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas makanan serta potensi risiko meningkat terhadap inflasi daripada rasionalisasi subsidi bahan api membabitkan RON 95.

Katanya, September 2023 memperlihatkan perdagangan runcit di Malaysia meningkat 5.5 peratus, disokong oleh peningkatan sederhana daripada jualan runcit kedai bukan khusus, meningkat sembilan peratus dan jualan runcit makanan dan minuman (F&B) dan tembakau di kedai khusus, yang meningkat 12.5 peratus.

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan hanya sedikit pertumbuhan untuk jualan runcit pada separuh pertama 2024 apabila perbelanjaan membalas dendam berkurangan, manakala cabaran ekonomi memberi kesan kepada pendapatan boleh guna pengguna.

“Retail Group Malaysia (RGM) menjangkakan pertumbuhan industri runcit sebanyak 3.5 peratus pada 2024 (berbanding jangkaan 2023 sebanyak 2.8 peratus), namun berwaspada mengenai kemungkinan kos sara hidup yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Jia Hui berkata, kerajaan bercadang untuk melaksanakan kemudahan visa semasa ketibaan, pas lawatan sosial dan visa masuk berbilang untuk menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur, terutamanya dari India dan China seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Namun begitu, beliau berkata, berikutan ketidaktentuan makro, pihaknya menjangkakan ketibaan dan perbelanjaan pelancong berhati-hati di premis runcit. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close