Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara menerusi sidang video.
Majlis berkenaan adalah tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di negara ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, berkata penubuhan majlis itu sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan pembangunan ekonomi digital di Malaysia bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi 4IR.
“Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat menekankan bahawa digitalisasi adalah satu budaya yang kini menjadi antara norma baharu yang perlu diarusperdanakan di semua peringkat termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.
“Justeru, perancangan, penyelarasan dan pemantauan dasar di peringkat kebangsaan adalah amat penting serta perlu diberi perhatian,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, pandemik COVID-19 menuntut kerajaan mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital.
“Sehubungan itu, negara memerlukan suatu dasar yang jelas, usaha dan tindakan bersepadu serta kerjasama yang erat antara semua pihak atau whole-of-nation approach,” kata kenyataan itu.
Majlis Ekonomi Digital dan 4IR negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Selain itu, semua majlis jawatankuasa dan pasukan petugas digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh menteri, pegawai kanan kementerian dan agensi akan diselaras atau digabungkan di bawah enam kluster yang baru diwujudkan.
Selain menteri Kabinet, majlis itu turut disertai wakil sektor awam dan swasta, industri serta kumpulan akademik yang akan menerajui usaha untuk mengekalkan kelestarian pembangunan negara dalam arus kemajuan global yang menjurus kepada pendigitalan intensif merentas segala aspek ekonomi dan kehidupan.
Sebanyak enam kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak agenda ekonomi digital dan 4IR.
1. Kluster Ekonomi dipengerusikan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
2. Kluster Bakat Digital dipengerusikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
3. Kluster Masyarakat dipengerusikan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
4. Kluster Infrastruktur Digital dan Data dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah
5. Kluster Teknologi Baru Muncul dipengerusikan Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
6. Kluster Kerajaan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sebuah jawatankuasa pemandu dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, juga diwujudkan untuk memacu kolaborasi antara pelbagai kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda ekonomi digital dan 4IR yang berpandukan hala tuju majlis berkenaan.
“Semua Ketua Setiausaha san Ketua Pengarah yang terbabit dengan keenam-enam kluster dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu mewakili Pengerusi Kluster masing-masing,” kata kenyataan itu. – BERITA HARIAN