MalaysiaPilihan Editor

LPPKN Terajui Inisiatif Beri Kit Kebersihan Asas – Mohd Nizar

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menerajui inisiatif pemberian Kit Kebersihan Asas kepada remaja perempuan dalam kalangan B40 di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nizar Zakaria, berkata Pusat Remaja KafeTEEN LPPKN seluruh negara akan bertindak sebagai penyelaras bagi mengadakan program dan aktiviti pemberian kit berkenaan.

Sebagai nilai tambah, katanya, setiap penerima terbabit akan mengikuti program pendidikan kesihatan reproduktif secara dalam talian yang dikendalikan Pembimbing Remaja KafeTEEN.

Beliau berkata, mereka juga akan didaftarkan sebagai ahli baharu Sahabat KafeTEEN bagi memperoleh pengetahuan dan bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.

“Projek pemberian kit ini akan turut membangunkan pangkalan bagi pengumpulan data mengenai golongan remaja perempuan di lokaliti bersasar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan akan mengedarkan kit asas kebersihan diri secara percuma setiap bulan kepada 130,000 remaja daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Mengulas lanjut, Mohd Nizar berkata, pemberian kit itu mampu membantu golongan wanita terutama remaja, untuk kembali pulih dan sihat tubuh badan, fizikal serta mental, di samping mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat.

Beliau berkata, ia juga sebagai keprihatinan dan sokongan moral kepada remaja serta wanita, terutama mereka yang memerlukannya ketika negara berada dalam fasa pemulihan.

Katanya, beliau berharap pelaksanaan program itu dapat memberi manfaat, khususnya kepada remaja perempuan B40, sekali gus memastikan isu kemiskinan haid diatasi dengan sebaiknya.

Beliau berkata, pemberian kit itu juga diharap akan menyumbang kepada ‘outcome’, iaitu mempertingkat kesejahteraan wanita dan keluarga dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

“Selain itu, meningkatkan kesedaran serta memperkasa remaja mengenai kepentingan penjagaan kebersihan peribadi dan kesihatan reproduktif.

“Mengurangkan keciciran pelajar ke sekolah akibat impak negatif kemiskinan haid terhadap remaja perempuan, terutama tekanan mental, serta meningkatkan taraf kesihatan dan jati diri remaja perempuan dalam menghadapi cabaran kini,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close