MalaysiaPilihan Editor

Avitan Shalom Mohon Bicara Tuduhan Pindaan Perdagang Pistol, Miliki Peluru

Avitan Shalom, lelaki warga Israel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan pindaan memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan tambahan kepada jumlah peluru iaitu daripada 158 peluru kepada 200 peluru dan pindaan kepada jenis, nama dan nombor siri tiga pistol iaitu Glock, Smith & Wesson dan Stoeger Cougar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya memohon untuk mengemukakan dua tuduhan pindaan kepada Shalom yang beralamat di Bnei Brak, Israel.

Kedua-dua pertuduhan pindaan itu kemudian dibacakan kepada Shalom di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin pada prosiding sebutan kes itu, dan lelaki yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis terbabit mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Enam pistol berkenaan adalah Glock 19 USA 9x 19 (sebelum ini 9x 10), Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P (sebelum ini N&P), 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri).

Bagi pertuduhan pindaan kedua membabitkan pertambahan bilangan peluru, pada masa, tarikh dan tempat sama.

Shalom didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru, 16 butir peluru yang berada di dalam senjata api Glock 17, 11 butir peluru yang berada di dalam senjata api, M&P 9C Smith & Wesson dan 15 butir peluru dalam senjata api, Stoeger Cougar 8000F.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, peguam bela Shalom, Navinjit Singh membangkitkan isu nama anak guamnya di atas kertas pertuduhan dan mendakwa nama tertuduh pada pasport Perancis yang digunakan untuk memasuki Malaysia adalah Shalom Avitan dan bukan Avitan Shalom.

Sehubungan itu Navinjit memohon nama terbabit dipinda kerana menurutnya bidang kuasa di negara ini menggunakan kaedah nama diberi dan nama keluarga disebut kemudian.

Katanya, Avitan Shalom boleh menjadi individu lain.

Bagaimanapun, Mohamad Mustaffa berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meminda nama tertuduh di kertas pertuduhan pada tahap ini atas alasan ia hanya membabitkan gaya penamaan.

Norina berkata, mahkamah mengambil maklum bantahan yang dibangkitkan pihak pembelaan dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan mengenai perkara itu di akhir perbicaraan kes.

Norina kemudian menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini bagi perbicaraan kes, selepas membenarkan permohonan Mohamad Mustaffa supaya kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama mengikut Seksyen 165(1) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan ia membabitkan tertuduh dan insiden sama.

Permohonan pendakwaan itu tidak dibantah Navinjit.

Tarikh perbicaraan terbabit ialah 30 September, 1 hingga 3 dan 7 hingga 10 Oktober serta 28 Jun ini bagi pengurusan kes.

Mohamad Mustaffa turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil seramai 20 orang saksi termasuk pegawai rampasan untuk memberikan keterangan.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan 17 jenis dokumen kepada pembelaan antaranya Laporan Kebolehpakaian Senjata Api dan Peluru, laporan polis, gambar tempat kejadian dan barang kes serta Laporan Laporan Maklumat Pertama (FIR).

Katanya masih terdapat beberapa dokumen yang belum diserahkan kepada pembelaan dan akan menyerahkannya pada sebutan kes akan datang. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close