Moody’s Ratings (Moody’s) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A3’ dengan tinjauan ‘Stabil’ di samping menyatakan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
Pengesahan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, serta kekal pada landasan pembaharuan fiskal dalam ketidaktentuan yang menstrukturkan semula ekonomi global dan perpecahan geopolitik.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau, memastikan agenda pembaharuan itu memberi manfaat kepada seluruh rakyat, kata beliau dalam kenyataan hari ini.
“Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan rantau ini,” kata beliau.
Menurut Moody’s, Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang, di samping menyatakan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
Agensi penarafan itu menjelaskan kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong oleh kekukuhan pasaran modal domestik dan sistem kewangan yang sofistikated.
Moody’s turut mengiktiraf keutuhan sokongan politik telah memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.
Perdana Menteri berkata dalam hal ini, kerajaan terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.
Berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2024 pada 4.8 peratus, Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.
Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025 secara beransur selaras denganpenetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. – BERNAMA




