GovernansMalaysiaPilihan Editor

Hotel Kena Sertai Inisiatif Payung Rahmah, Bantu Tingkat Ekonomi Pelancongan Domestik

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu lebih banyak industri perhotelan, menyertai pelaksanaan Inisiatif Payung Rahmah dalam usaha meningkatkan ekonomi pelancongan domestik.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ketika ini terdapat dua hotel sudah menyertai inisiatif itu sejak ia diperkenalkan pada Januari lalu iaitu di Sandakan, Sabah dan di Kuala Lumpur.

Katanya, inisiatif sedemikian bukan sahaja dapat membantu ekonomi negara dalam industri berkenaan tetapi juga pada masa sama membantu menjimatkan kerana pakej yang ditawarkan lebih murah daripada biasa.

“Sepanjang Ramadan ini saya sasarkan antara empat sehingga lima lagi hotel terutama di ibu kota, untuk menyertai inisiatif ini bagi memudahkan orang ramai yang datang membeli belah di sini, menginap di hotel dengan harga berpatutan.

“Selepas Ramadan juga masih boleh melaksanakan Inisiatif Payung Rahmah bagi membantu mereka turut merasai pengalaman menginap di hotel namun dengan harga mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej Rahmah di Tamu Hotel & Suites di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof.

Beliau berkata, hotel di Kampung Baru menjadi hotel pertama di Malaysia yang menawarkan pakej penginapan dua hari satu malam di bilik standard termasuk sahur dan iftar dengan harga RM250 manakala di Sandakan menjadi hotel pertama menawarkan bilik hotel dengan iftar.

Terdahulu ketika berucap, Salahuddin berkata, pihaknya berhasrat untuk meneruskan usaha membantu meringankan beban serta kebajikan rakyat dalam pelbagai bentuk.

Katanya, pihaknya juga mahu menjadikan usaha sedemikian sebagai satu sistem yang bernilai di negara ini supaya kebajikan mereka yang memerlukan tidak dipinggirkan.

“Semalam dalam pasca mesyuarat Kabinet saya juga lontarkan kepada rakan sepasukan supaya kita membina sistem bantuan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan selain dapat disampaikan dengan lebih mudah.

“Kita tidak mahu usaha memberi bantuan ini bermusim tetapi ia perlu dijadiakan sebagai satu sistem yang bernilai di negara ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close