Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat supaya jangan cepat leka dan berpuas hati dengan pencapaian program vaksinasi negara ketika ini.
Baginda bertitah, usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 terutamanya dengan kemunculan varian baru.
“Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera. Menyedari hakikat itu, strategi ‘whole of society effort’ perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.
“Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperkasa ‘Agenda Nasional Malaysia Sihat’ dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini,” titahnya pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.
Baginda juga menasihatkan rakyat sentiasa menjaga kesihatan diri dalam membiasakan diri dan menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Baginda turut mengingatkan rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan mengekalkan disiplin diri dengan mematuhi prosedur operasi standard setipa masa.