MalaysiaPilihan Editor

PARLIMEN: Kerajaan Perkenal Cukai Baharu, Kenaikan Cukai Sedia Ada Untuk Tampung Kos Khidmat Hutang Negara – Ka Siong

Kerajaan didakwa terpaksa mengenakan pelbagai cukai baharu termasuk kenaikan cukai sedia ada demi menampung kos khidmat hutang (DSC) negara yang semakin meningkat.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, antaranya Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG) 10 peratus bagi jualan dalam talian (e-dagang), Cukai Perkhidmatan Digital (DST) lapan peratus, serta Cukai Keuntungan Modal (CGT) dan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang masing-masing 10 peratus.

Beliau berkata, ia diparahkan lagi dengan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus bermula esok untuk elektrik dan air, selain caj bulanan untuk pembetungan di bawah Indah Water Konsortium.

Apa yang memeritkan, katanya, rakyat perlu menanggung peningkatan kos dan tidak mustahil akan ada lagi banyak cukai baharu dan kenaikan cukai kerana kerajaan terpaksa membayar DSC.

Memberi contoh kenaikan SST dari enam kepada lapan peratus, katanya, kenaikan cukai ini hanya mampu menanggung 22 peratus daripada kos faedah tahunan sahaja.

“Sebab itu, kerajaan kini ada pelbagai cukai-cukai baharu dan kenaikan kadar cukai sedia ada (dan) mungkin akan ada lagi banyak cukai baharu dan kenaikan cukai kerana terpaksa membayar kos DSC,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kisah Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh hutang langsung kerajaan, Ka Siong berkata ia bertambah RM485.7 bilion dari RM686.8 bilion pada akhir 2017 kepada RM1,172.5 bilion pada hujung tahun lalu, atau menghampiri RM1.2 trilion.

Pada 2022 hingga 2023, beliau berkata hutang negara bertambah RM92.9 bilion sambil menyuarakan kebimbangan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertambah dari 50 peratus pada 2017 kepada 60.3 peratus pada 2022 dan 64.3 peratus pada hujung tahun lalu.

“Tidak dinafikan jumlah hutang tambahan akibat daripada tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kembalikan SST pada 2018 dan kembali kepada subsidi pukal pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), adalah dianggarkan sekitar RM360 bilion untuk tempoh enam tahun kebelakangan ini.

“Kadar faedah bon kerajaan ketika ini ialah sekitar empat peratus setahun, maka bayaran faedah tahunan bagi hutang tambahan RM360 bilion ini adalah sekitar RM14.4 bilion setahun.

“Kerajaan MADANI kini menganggarkan hasil tambahan dari kenaikan SST dari enam kepada lapan peratus mulai 1 Mac ini hanyalah RM3 bilion bagi tahun ini.

“Maksudnya, rakyat jelata terpaksa bayar cukai servis lebih tinggi dua peratus hanya untuk membiayai 21 peratus daripada beban faedah tahunan sahaja bagi hutang tambahan angkara langkah-langkah kerajaan yang memerintah selepas PRU14,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close