Lebih 50 peratus petani di negara ini dikenal pasti terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata dapatan itu adalah berdasarkan hasil Banci Pertanian 2023.
“Kita menyedari individu ini (petani warga emas) akan berada di lapangan dan bertani sehingga mereka sudah tidak larat kerana itu adalah resam (orang) yang duduk di luar bandar… mereka juga tidak mempunyai pencen. Itulah sebabnya selagi ada umur dan kesihatan yang baik, mereka akan terus bertani.
“Namun, bancian dilakukan juga mendapati muncul potensi tinggi dalam kalangan belia yang mahir untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian.
“Malah kini, ada banyak teknologi yang dapat membantu dan mereka tidak perlu berada di lapangan sepanjang masa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Pulau Pinang yang disempurnakan EXCO Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol, di Institut Pertanian Bumbong Lima di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk membangunkan statistik Indeks Pengeluaran Sektor Pertanian Negara sebagai indikator bagi membantu memastikan keterjaminan makanan berada pada tahap yang baik.
Sebelum ini, katanya, kebanyakan tumpuan diberikan kepada pembangunan statistik berkaitan indeks pengeluaran dalam sektor perkilangan, elektrik dan perkhidmatan.
“Justeru, kami (DOSM) bersama agensi (pertanian) bercadang agar selepas ini akan ada indeks pengeluaran sektor pertanian negara (lebih menyeluruh) yang akan menjadi salah satu indikator kepada keterjaminan makanan negara.
“Melalui statistik itu nanti, kita boleh melihat sektor (pertanian) yang lebih berkesan serta negeri dan daerah mana yang mengeluarkan hasil lebih baik, sekali gus dapat dijadikan rujukan kepada yang lain-lain,” katanya.
Mohd Uzir menjelaskan bahawa pihaknya menyasarkan statistik pertanian itu akan dikeluarkan secara lebih berkala dan bukan dalam tempoh panjang.
“Sebenarnya yang paling bagus, (statistik sektor pertanian) dikeluarkan lebih berfrekuensi secara bulanan atau suku tahun seperti dalam sektor perkhidmatan yang mana kita keluarkan setiap suku tahun.
“Kita akan membincangkan perkara ini nanti. Yang kita nampak, statistiknya (sektor pertanian) perlu dikeluarkan secara berkala (berikutan ia membabitkan keterjaminan makanan negara),” katanya. – BH ONLINE