Dimensi BisnesMalaysiaPilihan Editor

Bravo Grab Malaysia, Foodpanda Usaha Murni Lindungi Lebih 145,000 Penghantar Menerusi Perkeso

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Usaha murni Grab Malaysia dan Foodpanda perlu dicontohi !

Inisiatif pro-aktif Grab Malaysia dan Foodpanda perlu dicontohi !

Outcome-nya ialah lebih 145,000 penghantar barangan dan makanan yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki dan juga rakan penghantar di seluruh negara kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kesemuanya penghantar itu adalah inisiatif  dua platform penyedia perkhidmatan terkemuka, Grab Malaysia dan Foodpanda yang mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung.

Program yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Perkeso dan platform penyedia perkhidmatan ini adalah satu lagi pendekatan proaktif dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk rakan penghantar ini.

Harian Metro melaporkan bahawa Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso menyambut baik dan menyanjung keprihatinan serta rasa tanggungjawab yang dizahirkan oleh kedua-dua peneraju utama platform penyedia perkhidmatan dalam mendaftar dan mencarum rakan penghantar mereka.

Menurutnya, bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar, kerajaan melalui SPS Lindung, menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan 2 iaitu RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Selaku peneraju dalam kalangan 133 platform penyedia perkhidmatan di Malaysia, Grab Malaysia dan Foodpanda adalah dua platform pertama yang tampil menyahut seruan terbabit dan hasilnya, rakan penghantar di bawah naungan mereka kini dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS.

Selain itu, beliau berkata, berdasarkan statistik Perkeso, sehingga 9 Julai lalu, 64,773 pencarum aktif terdiri daripada rakan penghantar kini berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS.

Kata beliau, jumlah itu merangkumi 39 peratus daripada jumlah keseluruhan OBS aktif yang mencarum dengan Perkeso iaitu 166,189 orang.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 2.72 juta OBS yang direkodkan Jabatan Statistik Malaysia, jumlah OBS yang mencarum dengan Perkeso adalah masih rendah, iaitu hanya 6.1 peratus.

Program SPS Lindung adalah pakej perlindungan Perkeso kepada mereka yang bekerja sendiri yang diumumkan kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020.

Antara manfaat perlindungan keselamatan sosial yang disediakan dalam SKSPS adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pinjaman Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional. – BACALAHMALAYSIA.MY/HARIAN METRO ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close