GovernansMalaysia

PARLIMEN: Kerajaan Perlu Ada Perancangan 30 Tahun Ke Hadapan Untuk Malaysia – Pengerusi BBC

Kerajaan perlu membuat perancangan 30 tahun ke hadapan untuk Malaysia bagi membolehkan kedudukan dan arah tuju negara dapat dilihat, terutama oleh generasi hari ini.

Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), berkata walaupun negara mempunyai pelbagai kerangka ekonomi dan pembangunan, termasuk Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, wawasan jangka panjang penting supaya dapat diselaraskan dengan perancangan sedia ada, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Katanya, sebelum ini kerajaan mempunyai perancangan jangka panjang seperti Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50), justeru perlu ada kesinambungan dan perancangan sama pada masa ini.

“Kita bercakap mengenai belanjawan terakhir untuk memasuki RMK-13 tapi ke mana arah kita… kita perlu ada wawasan 30 tahun ke hadapan.

“Dulu kita ada Wawasan 2020, yang diberikan pengharapan begini caranya, kereta api atas udara, ada penambahan pusat teknologi dan walaupun ia tidak capai sepenuhnya, kita berada di pertengahan,” katanya.

Mohd Shahar turut mengakui bimbang kerana sekiranya tidak ada perancangan 30 tahun, Malaysia akan ketinggalan termasuk kepada Indonesia yang mempunyai Visi Indonesia Emas 2045.

“Saya akui kadangkala perancangan jangka panjang ini juga merencatkan kebolehsesuaian dan fleksibiliti tidak akan ada. Ia susahkan kita membuat tindakan kerana kebanyakannya akan ikut pelan kerja sedia ada.

“Bagaimanapun, kitalah yang menguruskan perkara ini dan saya yakin, ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata, Malaysia juga harus memanfaatkan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi.

“Saya ingin mencadangkan penubuhan Pusat Pembangunan Latihan dan Penyelidikan Halal ASEAN dan mengkaji ‘Asian Shariah Stock Exchange’ untuk menjadikan ASEAN peneraju kewangan Islam global,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close