Malaysia

PARLIMEN: ‘Apakah Saya Terlalu Bahaya Untuk Berada Di Parlimen’ – Wan Ahmad Fayhsal

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya mempertimbang semula larangan berada di Galeri Awam Dewan Rakyat yang dikenakan ke atas beliau.

Mendakwa peraturan itu sebagai tidak masuk akal, Wan Ahmad Fayhsal yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan pada Julai lalu, turut menyifatkan ia sebagai berlebihan, sedangkan beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Beliau turut mempersoalkan peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat yang diguna pakai Johari untuk mengeluarkan larangan itu.

“Apakah saya ini ancaman kepada Parlimen? Apakah muka dan keberadaan saya ini memberi tekanan kepada Parlimen? Adakah saya terlalu bahaya untuk berada di Parlimen walaupun saya tak dapat cakap satu perkataan pun?

“Adakah saya diberi layanan lebih rendah berbanding pegawai, malah lebih rendah daripada orang awam yang menonton sidang Dewan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada sesi Dewan pagi tadi, pembangkang mempersoalkan mengapa Wan Ahmad Fayhsal tidak dibenarkan mengikuti persidangan dari Galeri Awam Dewan Rakyat.

Membangkitkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Wan Ahmad Fayhsal berada di Galeri Awam bagi mengikuti persidangan pada Isnin lalu, namun pada Selasa beliau menerima surat daripada Johari yang tidak membenarkan beliau berbuat demikian.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, pada Mac 2018, Ahli Parlimen Gelang Patah ketika itu, Tan Sri Lim Kit Siang digantung daripada sidang Dewan selama enam bulan, namun beliau dibenarkan berada dalam Dewan tetapi tidak terbabit dalam perbahasan.

“Sudah ada satu duluan yang sepatutnya Tuan Yang Dipertua boleh patuhi. Apa salahnya saya duduk dengan pegawai?

“Saya boleh bantu mereka dalam perbahasan dan bawa suara rakyat, juga daripada Parlimen dan negeri saya,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close