Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Hati mana tidak gembira kerana banyak pihak terus menerus prihatin dengan masyarakat Orang Asli di Pos Manson dan Batu 16 Jalan Tapah-Cameron Highlands.
Baru-baru ini pada 24 Januari 2025, seramai 15 sukarelawan Hostel International (HI) Malaysia diketuai Lt Kol (B) Hamirudin Hashim serta 5 kakitangan Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur telah menyantuni 70 kanak-kanak Orang Asli.
Tidak terkecuali sebanyak 73 keluarga Orang Asli Pos Manson dan Batu 16 Jalan Tapah-Cameron Highlands turut menerima bantuan menerusi Program Amal Bakul Makanan Orang Asli dan keluarga B40.
Hamirudin berkata program murni ini terus konsisten saban tahun dalam memastikan masyarakat Orang Asli tidak terpinggir dan segala bantuan sentiasa ditambahnilai dengan sokongan pelbagai pihak.
“Untuk program awal tahun 2025, seramai 37 keluarga Islam dan 18 keluarga bukan Islam Orang Asli Pos Manson serta 28 keluarga Islam Orang Asli di Batu 16 Jalan Tapah-Cameron Highland menerima bantuan kali ini.
“Tidak lupa seramai 70 kanak-kanak turut menerima bantuan terutama beg sekolah dan peralatan sekolah sumbangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.
Di samping itu, sukarelawan petugas Hospital Pakar Pusrawi termasuk doktor dan jururawat juga mengadakan klinik bergerak bagi memeriksa kesihatan ibu, bayi dan kanak-kanak secara percuma.
Insiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali ini turut disokong oleh Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Johol Negeri Sembilan, syarikat Richiamo Coffee serta orang perseorangan. – BACALAHMALAYSIA.MY