Kerajaan sedang meneliti keperluan penyedia platform media sosial melabelkan kandungan yang menggunakan janaan kecerdasan buatan (AI) atau berunsur palsu asli bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pelaksanaan itu akan dibuat menerusi beberapa peraturan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (Akta 868) yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir tahun ini.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti keperluan platform media sosial meletakkan label ‘janaan AI’ atau ‘AI enhanced’, sama ada kandungan terbabit dihasilkan aplikasi AI atau ditambah baik mahupun diolah menggunakan AI.
“Kita lihat ini boleh dilaksanakan melalui Akta 868 dan dijangkakan selepas beberapa peraturan disiapkan MCMC. Insya-Allah Akta 868 akan berkuat kuasa hujung tahun ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ini kerana, katanya, aplikasi AI membolehkan penghasilan kandungan berunsur palsu asli, seolah-olah seseorang membuat kenyataan yang tidak diucapkan individu terbabit.
“Memang kita dapati di pelbagai peringkat, sama ada di Kerajaan Persekutuan atau antarabangsa sedang hebat membincangkan mengenai isu berkaitan kawal selia AI, selain pengguna perlu ada kesedaran, bukan semua disaksikan terutama di media sosial adalah benar.
“Pengguna perlu ada keupayaan membuat pengesahan mudah bagi kandungan, bukan sekadar membabitkan janaan AI dan ‘deepfake’ sebagainya. Ini dibincangkan beberapa media barat,
“Kini (kandungan) janaan AI boleh menghasilkan video seolah-olah wartawan berada di lokasi untuk membuat pelaporan mengenai kejadian yang langsung tidak berlaku,” katanya.
Menjawab soalan asal, Fahmi berkata, MCMC diberi kuasa menyiasat kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), berdasarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) yang diterima daripada orang awam, permohonan agensi penguatkuasaan lain, permohonan dan pemantauan proaktif suruhanjaya itu.
Bertindak atas FIR itu, katanya, proses siasatan akan dijalankan agensi penguatkuasaan di bawah peruntukan berkaitan kesalahan tertentu, seperti di bawah Seksyen 233 Akta 588, jika ada penerbitan kandungan berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.
Beliau berkata, MCMC dalam perkara tertentu bertindak memberikan bantuan teknikal kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seterusnya, pemeriksaan akan dijalankan pegawai diberi kuasa MCMC, sama ada mendapatkan waran geledah daripada mahkamah mengikut Seksyen 247 Akta 588 atau kerjasama PDRM di bawah Seksyen 248 Akta 588.
“Bagi kes yang disiasat, notis di bawah Seksyen 255 Akta 588 (kuasa menghendaki kehadiran orang yang tahu mengenai kes) boleh dikeluarkan terhadap individu disiasat MCMC.
“Rakaman percakapan individu berkenaan juga akan diambil di bawah Seksyen 256 Akta 588 bagi membantu siasatan,” katanya.
Fahmi berkata, peranti komunikasi milik individu berkenaan boleh disita, sama ada oleh MCMC atau PDRM, jika terdapat bukti awal yang boleh mengaitkan mereka dengan kesalahan disiasat, diikuti pelaksanaan ujian forensik bagi mendapatkan bukti teknikal berkaitan.
“Kertas siasatan lengkap akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) bagi pertimbangan dan keputusan memulakan pendakwaan di mahkamah atau mana-mana keputusan lain yang termaktub dalam undang-undang.
“Tawaran kompaun juga boleh ditentukan pada peringkat ini melalui izin yang diperoleh daripada TPR di Jabatan Peguam Negara,” katanya. – BACALAHMALAYSIA>MY/BERNAMA/BH ONLINE




