Mesyuarat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, mengenai tuntutan hak negeri itu ke atas sumber minyak dan gas pada 7 Januari lalu, mencapai persetujuan dalam lima perkara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] sebagai Akta Persekutuan yang menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.
“PETRONAS menerima peranan PETROS sebagai agregator gas (bukan gas asli cecair) di Sarawak dan bersedia bekerjasama dengan PETROS di Sarawak.
“Ini adalah semangat kerjasama sepenuhnya antara PETRONAS dan PETROS dalam semua urusan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Azalina berkata, ketika ini Kerajaan Persekutuan, PETRONAS dan kerajaan Sarawak sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk segi implikasi perundangan berkaitan. – BH ONLINE