Malaysia perlu melaksanakan pembaharuan cukai termasuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau cukai nilai tambah (VAT), demikian menurut Bank Dunia.
Bank Dunia menerusi Laporan Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuh Mobiliti di Malaysia berkata, langkah itu dapat memastikan sistem percukaian negara lebih cekap serta berupaya mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dalam kalangan rakyat.
Katanya, langkah itu juga dijangka meningkatkan hasil jangka panjang dengan ketara melalui percukaian langsung dan tidak langsung.
Menurut Bank Dunia lagi, kutipan cukai tidak langsung Malaysia buat masa ini adalah rendah pada kadar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di bawah purata negara berpendapatan rendah (LIC).
“Pertimbangan perlu diberikan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau cukai nilai tambah (VAT), yang secara meluas dianggap sebagai salah satu cukai paling cekap dalam sistem percukaian sesebuah negara dan boleh dilaksanakan secara meluas dan pantas.
Laporan itu juga menyatakan kesan cukai penggunaan mungkin lebih progresif kerana perbelanjaan tidak formal yang tidak dikenakan cukai adalah lebih tinggi dalam kalangan isi rumah miskin.
Selain itu, menurut Bank Dunia, sekurang-kurangnya satu peratus lagi daripada KDNK boleh dikumpulkan melalui peningkatan kutipan cukai pendapatan individu (PIT) hasil daripada pembaharuan yang telah digariskan.
Ini bukan sahaja akan mewujudkan ruang fiskal tambahan, tetapi turut mengurangkan ketidaksamaan secara langsung kerana cukai ini kebanyakannya dibayar oleh golongan berpendapatan tinggi, sambil mengekalkan beban cukai pendapatan secara keseluruhan pada tahap yang munasabah.
Laporan Bank Dunia itu menambah, beban cukai ke atas isi rumah berpendapatan rendah boleh dikurangkan melalui penyaluran bantuan yang lebih baik dan pengenalan rebat GST yang bersasar.
Hal ini kerana, katanya, walaupun ia bersifat neutral dari segi agihan, sebarang peningkatan cukai tidak langsung tetap akan memberi beban kepada isi rumah miskin.
“Penyaluran bantuan sosial yang lebih baik kepada isi rumah dalam kelompok 40 peratus terbawah serta pemberian rebat cukai dapat mengimbangi kesan kenaikan GST terhadap kemiskinan, tidak memberi kesan kepada ketidaksamaan dan masih menghasilkan penjimatan fiskal tambahan yang bersamaan dengan dua peratus daripada KDNK,” katanya.
Laporan Bank Dunia itu turut menjelaskan bahawa pembaharuan cukai akan mengurangkan ketidaksamaan kerana sistem cukai, pemindahan dan subsidi sedia ada mengurangkan ketidaksamaan secara tunai pada kadar purata negara berpendapatan menengah atas.
Bagaimanapun katanya, apabila manfaat kesihatan dan pendidikan bukan tunai dimasukkan, manfaatnya adalah agak kecil berbanding negara berpendapatan menengah atas.
Menurutnya, penghapusan subsidi bahan api, pengenalan semula GST tanpa pengecualian, pemberian rebat cukai kepada isi rumah miskin, peningkatan perbelanjaan bantuan sosial sehingga mencapai 1.5 peratus daripada KDNK dengan penyaluran lebih baik kepada golongan termiskin, di samping pembaharuan PIT dan penggunaan hasil tambahan untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor kesihatan akan meningkatkan prestasi sistem fiskal Malaysia dalam mengurangkan ketidaksamaan.
“Ini akan mengangkat kesan pengurangan ketidaksamaan sistem fiskal Malaysia daripada kedudukan separuh terbawah ke separuh teratas dalam kalangan negara-negara lain,” katanya. – BH ONLINE