Governans

PARLIMEN: Malaysia Sasar Sifar Eksport MSM, Tingkat Keluaran Produk Hiliran – Johari Ghani

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berhasrat memastikan Malaysia dapat mencapai sifar eksport minyak sawit mentah (MSM) pada masa depan melalui usaha memperbanyakkan pengeluaran produk hiliran.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata daripada 19.3 juta tan MSM dihasilkan pada 2024, hanya 3 juta tan dieksport manakala selebihnya diproses menjadi produk hiliran.

Sehubungan itu, katanya, KPK merancang untuk memastikan keseluruhan MSM negara diproses secara tempatan untuk menghasilkan 80 peratus minyak masak dan bahan produk makanan selain baki 20 peratus untuk kegunaan industri.

“Kita mempunyai ekosistem yang bagus. Dulu (misalnya), 80 peratus hasil MSM kita eksport ke luar negara, tapi sekrang ini diproses di 53 kilang penapisan.

“Ia juga diproses menjadi oleokimia di 21 kilang dan kita juga mempunyai 19 kilang biodiesel,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh usaha penanaman semula sawit di peringkat negara, Johari berkata ia berada pada kadar rendah iaitu 2.0 peratus berbanding keperluan 4.0 peratus.

Sehubungan itu, Malaysia perlu meningkatkan usaha penanaman semula, malah KPK bersedia mengajukan permohonan kepada kerajaan bagi peruntukan tambahan jika wujud keperluan sedemikian.

Kerajaan memperuntukkan bantuan RM100 juta untuk inisiatif penanaman semula bagi memastikan hasil sawit tidak terjejas akibat faktor pokok sawit yang menua.

Semua usaha kerajaan juga bagi memastikan minyak sawit mampu bersaing dengan minyak soya yang kini pada harga rendah.

Bagi getah, Johari berkata kementerian akan terus giat menjalankan usaha membantu pekebun kecil melalui pelbagai insentif untuk meningkatkan pengeluaran getah asli negara.

“Pekebun kecil aktif ini menoreh sebanyak 348,000 tan dan kita akan pastikan mereka ada insentif iaitu insentif pengeluaran getah, pengeluaran lateks selain perkenalkan penggunaan teknologi baharu.

“Aspek lain adalah amalan pertanian baik seperti baja berkualiti yang boleh meningkatkan pengeluaran susu getah serta benih yang bagus,” katanya.

Beliau berkata industri hiliran memerlukan sebanyak 1.6 juta tan getah asli walaupun pekebun kecil hanya mengeluarkan sejumlah 350,000 tan yang menyebabkan Malaysia mengimportnya dari Vietnam, Thailand dan Ivory Coast bagi menampung keperluan berkenaan.

“Lembaga Getah Malaysia LGM akan giat melaksanakan penyelidikan untuk menghasilkan klon-klon getah baharu berprestasi tinggi serta daya tahan penyakit yang tinggi.

“Apabila kita dapat kluster-kluster (yang baik), ini membantu mengurangkan (keperluan) import,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close