Firma penyelidikan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus Khamis ini.
Memandangkan kadar itu masih di bawah pada awal 2019, Moody’s Analytics berkata ia menjangka BNM akan mengekalkan kadar sehingga 2025.
“Bank pusat Malaysia akan memberikan kemas kini mengenai tetapan dasar monetarinya pada Khamis ini.
“Walaupun bank pusat New Zealand dan Filipina telah menurunkan kadar faedah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, BNM berkemungkinan akan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sehingga 2025,” katanya dalam nota Sorotan & Previu Mingguan Ekonomi yang dikeluarkan pada 30 Ogos lalu.
Sambil mengulangi kenyataan itu, Standard Chartered Global Research mengekalkan pandangannya bahawa BNM akan kekal mempertahankan kadar sepanjang tahun ini.
Ia menyatakan bahawa risiko lebih cenderung ke arah kenaikan kadar berbanding pemotongan.
“Kami akan memerhatikan sebarang perubahan kepada prospek inflasi BNM,” katanya dalam satu nota penyelidikan global.
Tambahan pula, ia berkata BNM juga berkemungkinan mengekalkan pandangannya bahawa pergerakan ringgit didorong oleh faktor luaran.
Kebimbangan mengenai mata wang tempatan telah reda sejak beberapa mesyuarat lalu di tengah-tengah prestasi memberangsangkan ringgit sejak akhir Februari.
“Penilaian BNM terhadap ringgit berubah daripada ‘terkurang nilai’ pada Mac kepada ‘tidak menggambarkan asas’ pada Mei, sebelum menyatakan bahawa ‘ia didorong oleh faktor luaran’ pada Julai,” tambahnya. -BERNAMA