GovernansMalaysiaPilihan Editor

Membangun Malaysia Madani Bagi Bina Masa Depan Negara – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali ‘Membangun Malaysia Madani’, yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanatnya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam (19 Jan 2023) berkata tema Madani akan kekal relevan dan mampu selamatkan negara.

Konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.

Malaysia Madani akan menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, amanat Perdana Menteri hari ini adalah berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, pemimpin kerajaan sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Agenda dasar kerangka MADANI bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan negara, tetapi turut menyentuh pencorakan masa hadapan serta memenuhi potensi rakyat serta negara.

“MADANI disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar,” katanya.

Majlis Amanat Perdana Menteri diadakan sejurus selepas Program Wacana Membangun Malaysia Madani bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi ini, sebagai usaha untuk meneroka tonggak dasar berkenaan.

“Ia adalah usaha untuk memberi kefahaman yang lebih tuntas dalam kerangka pemikiran, falsafah, etika dan tindakan dalam membangun Malaysia MADANI.

“Wacana ini disampaikan oleh empat ahli panel yang terdiri daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Datuk Prof Muhd Nur Manuty; Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Prof Dr Haslinda Abdullah,” katanya.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – foto BERNAMA

 

Konsep Madani perkasa negara berteraskan nilai, etika dan akhlak

Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.

Perdana Menteri berkata istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama diperkenal dan diungkap oleh pemikir sejak dahulu lagi, diperkenalkan dalam pentadbiran negara berikutan ia memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.

Tatkala negara dipacu untuk maju dan kadang kala tercemar kerana salah laku serta rasuah, selain keruntuhan nilai, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama di negara ini, dengan nilai murni yang harus dikembangkan semula.

“Sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital, kita pacu pertumbuhan kita, jangan tinggalkan nilai dan kemanusiaan.

“Ia kerana meninggalkannya bermakna kita akan menerima fahaman dan mula mengalah serta membiarkan (permissive) tanpa mengira latar belakang. Tetapi ‘permissiveness’ sudah menembusi keyakinan kita,” katanya.

Anwar berkata, berikutan sikap sedemikian yang sudah menembusi masyarakat, ia membawa kepada fahaman kabilah, yang menyebabkan perilaku rasuah dan penyelewengan.

 

Penjawat awam dari Jabatan Perdana Menteri (dari kiri) Latifah Abdul Hamid, Nurizyan Adnan dan Siti Zulaiha Azmi menunjukkan buku 'Membangun Negara Madani' yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - fotoBERNAMA
Penjawat awam dari Jabatan Perdana Menteri (dari kiri) Latifah Abdul Hamid, Nurizyan Adnan dan Siti Zulaiha Azmi menunjukkan buku ‘Membangun Negara Madani’ yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – fotoBERNAMA

 

Tanpa ekonomi bersifat manusiawi, penswastaan dan rompakan terhadap rakyat terus berlaku

Perdana Menteri berkata ketiadaan kawalan kekuatan politik yang telus serta tatakelola yang baik dalam mana-mana sistem yang tidak adil, ia akan menyebabkan rompakan terhadap rakyat berpanjangan.

Anwar berkata, tanpa ekonomi bersifat manusiawi, apa berlaku adalah sistem baharu yang kadang-kadang disebut penswastaan, rompakan itu terus menerus setiap jam.

“Saya masih ingat kupasan ‘political economies’… bahas soal pengalaman dalam sejarah apabila raja-raja terdahulu atau kelompok lanun yang datang merompak dari desa tentunya yang menyebabkan keperitan hidup kerana kezaliman ini menyusahkan.

“Setiap minit kegunaan air dan elektrik umpamanya akan menyebabkan rompakan kecil berterusan setiap minit, setiap bulan, setiap tahun.

“Sebab itu sokongan dasar kita itu harus menjamin sokongan kepada pemodal (pelabur) supaya dapat dijalankan kegiatan ekonomi dengan baik tapi jangan menyebabkan penekanan, sengsara bagi rakyat di bawah,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close