Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau rapi terhadap sebarang penyalahgunaan teknologi.
Menerusi ledakan teknologi yang sangat pesat, penyalahgunaan teknologi boleh menjurus kepada ancaman siber.
“Ini (ancaman siber) boleh mewujudkan rasuah bentuk baharu, “kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata, justeru, Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membangunkan penyelesaian teknologi dan amalan terbaik dalam ketelusan serta tadbir urus.
Katanya, kerjasama yang lebih erat diperlukan daripada semua pihak berkepentingan, termasuk entiti perniagaan dan korporat, pelabur, peniaga, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam usaha memerangi ancaman rasuah.
Beliau berkata, pada masa yang sama, adalah penting untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti institusi bagi menangani cabaran serta krisis semasa.
“Untuk mencapai matlamat ini, memerlukan Malaysia memperoleh skor antara 68 hingga 70 mata, dengan sasaran peningkatan tahunan yang stabil sekurang-kurangnya dua mata.
“Aspirasi dan perjalanan jangka panjang ini bukan saja menuntut reformasi tadbir urus yang strategik dan berani, tetapi juga memerlukan komitmen bersama yang akan mendorong kita ke arah matlamat transformasi negara,” katanya.
Kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 kekal tidak berubah di tangga ke-57 daripada 180 negara, sama seperti CPI 2023.
Bagi mencapai lonjakan prestasi, Azam berkata sebuah Pasukan Petugas Khas CPI telah ditubuhkan kerajaan pada Mei 2024, yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Dengan objektif untuk meningkatkan CPI Malaysia, pasukan petugas khas ini diberi mandat untuk menjalankan analisis menyeluruh terhadap sembilan tinjauan CPI serta mengemukakan cadangan bagi penambahbaikan strategik,” katanya.
Pasukan Petugas Khas CPI ini turut disokong oleh penubuhan enam kumpulan fokus yang masing-masing memberi tumpuan kepada sektor tinjauan CPI yang berkaitan, iaitu penguatkuasaan, perundangan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, pelaburan dan komunikasi strategik.
Azam berkata, kebimbangan Transparency International (TI) terhadap kesan buruk rasuah global dalam usaha menangani krisis iklim adalah berasas.
Beliau berkata, rasuah menyumbang kepada kehilangan biodiversiti, pencemaran, menjejaskan akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan serta sistem keadilan yang lebih baik, melemahkan kualiti pelaburan awam yang mengakibatkan infrastruktur awam yang tidak memadai, serta menyumbang kepada hakisan kepercayaan masyarakat.
Azam berkata, persepsi terhadap isu ini, memainkan peranan penting dalam mempengaruhi prestasi CPI bagi setiap negara.
Merujuk kepada Laporan Pelaburan Dunia 2023 oleh Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Azam berkata defisit pelaburan tahunan yang dihadapi oleh negara-negara membangun semakin membesar dalam usaha mereka mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.
Beliau berkata, jurang itu kini mencecah kira-kira RM17.59 trilion atay ASD$4 trilion setahun, meningkat daripada RM10.99 trilion (AS$2.5 trilion) pada tahun 2015 ketika Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mula diterima pakai.
Mengenai GGC 2025, Azam berkata pandangan yang dikongsi oleh ahli panel terkemuka, akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai usaha dan inisiatif kerajaan dalam mempromosikan tadbir urus yang baik serta memerangi rasuah.
Bertemakan “Memajukan Imej Negara Menerusi Reformasi Tadbir Urus: Polisi-Prestasi-Rakyat”, persidangan ini dianjurkan bersama SPRM dan Institut Integriti Malaysia (IIM).
Tiga aspek utama persidangan – polisi, prestasi dan rakyat – merupakan elemen penting ke arah mencapai reformasi tadbir urus yang berjaya. – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE




