Kerajaan perlu menumpukan kepada pembangunan industri beras di negara ini supaya menjadi industri yang menguntungkan, sekali gus menjadikan negara lebih berdikari.
Bekas Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata untuk itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu langkah untuk menggalakkan bidang pengeluaran beras kerana ia satu-satunya industri yang membolehkan kita tidak bergantung kepada negara lain.
Mengambil contoh industri kelapa sawit, Johari berkata, apabila ia dilihat mendatangkan keuntungan, syarikat besar turut terbabit dalam membangunkannya, sehingga Malaysia menjadi pengeksport kedua terbesar di dunia.
“Apa yang paling penting, kita nak galakkan pesawah kita dan dia boleh mendapat keuntungan. Apabila syarikat besar tengok industri ini boleh menguntungkan, mereka akan sama-sama terbabit secara langsung untuk membangunkan industri beras ini.
“Jika kita cerita ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, masalah bekalan beras ini akan terus berlanjutan dan keselamatan makanan bagi beras ini tidak akan boleh diatasi.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan sesi penerangan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkenaan isu bekalan beras putih tempatan (BPT).
Dalam pada itu, Johari turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan subsidi bagi pembelian BPT untuk 3.2 juta isi rumah B40 jika harga beras itu dinaikkan, bagi membantu golongan berkenaan.
“Kita nak kalau boleh dijual (dengan harga lebih tinggi dari harga siling), biar ia naik sebab ia menggalakkan petani untuk terus menanam padi kerana mereka tahu, ia boleh mendapatkan keuntungan yang banyak.
“Contohnya, jika kita tetapkan siling RM2.60 per kilogram (kg) atau RM26 bagi 10 kg, kita boleh benarkan ia dijual, katakan RM32, maka ada jurang RM6.
“Saya kira, untuk selesaikan masalah isi rumah B40 dalam jangka masa pendek ini, jika RM6 (bagi setiap 10 kg) dan (penggunaan) 20 kg, didarab dengan 12 bulan, dalam RM460 juta subsidi setahun (diperlukan) untuk 3.2 juta isi rumah.
“Apabila beras sudah dapat diimport semula, maka subsidi ini boleh ditarik balik secara perlahan-lahan,” katanya.
Memberi maklum balas kepada cadangan subsidi itu, Mohamad menyifatkan ia sebagai amat baik dan akan memaklumkannya kepada Kementerian Kewangan esok, supaya dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
“Ini cadangan yang baik, yang membolehkan kita melihat kestabilan yang akan berlaku,” katanya. – BH ONLINE