Pilihan EditorTurun Naik

Belanjawan 2024 Tumpu Ringankan Beban Kos Sara Hidup – Institusi Perbankan

Belanjawan 2024 dijangka dibina berdasarkan asas disiplin fiskal yang ditetapkan oleh Belanjawan MADANI Malaysia 2023, dengan matlamat untuk menyediakan pelan hala tuju yang lebih jelas bagi pembaharuan fiskal dan landskap kewangan negara, kata Public Investment Bank Bhd.

Menurut bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikannya, ia yakin belanjawan itu akan memberi keutamaan kepada pengukuhan kelas pertengahan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meringankan beban susulan kenaikan kos sara hidup.

Ia berkata, Belanjawan 2024 akan sejajar dengan dasar jangka sederhana hingga panjang seperti Ekonomi MADANI, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

“Unjuran kami membayangkan defisit belanjawan untuk tahun mendatang ialah kira-kira 4.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), sejajar dengan laluan yang menuju ke sasaran 2025 sebanyak 3 hingga 3.5 peratus daripada KDNK seperti yang dinyatakan dalam RMK12.

Defisit belanjawan rasmi kerajaan pada separuh pertama 2023 adalah sebanyak RM39.4 bilion atau 42 peratus daripada unjuran defisit belanjawan rasmi setahun penuh sebanyak RM93.9 bilion, seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula pada 24 Feb 2023.

Defisit belanjawan separuh pertama 2023 ialah pada 4.5 peratus daripada KDNK berbanding sasaran tahun penuh sebanyak 5.0 peratus.

Firma penyelidikan itu turut menjangka kerajaan memperuntukkan RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM300 bilion untuk perbelanjaan mengurus di tengah-tengah pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih meluas, terutamanya untuk tarif elektrik dan subsidi petrol.

Tambahnya, kerajaan juga mungkin memperkenalkan pemindahan tunai atau meningkatkan bantuan kewangan untuk mengurangkan kesan kewangan bagi kumpulan yang terjejas akibat pengurangan subsidi.

Selain itu, ia menjangkakan Belanjawan 2024 akan memberikan impak positif pada sektor pembinaan dengan penerusan projek infrastruktur utama dan permulaan projek baharu. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close