UMNO: MANDAT RAKYAT DEMI KESTABILAN
Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap,
Yang Berhormat Dato Seri Utama Timbalan Presiden UMNO
Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, dan Yang Berbahagia
Naib-Naib Presiden UMNO
Ketua Wanita UMNO dan saf kepimpinannya
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan saf kepimpinannya
Ketua Pergerakan Puteri UMNO dan saf kepimpinannya
Setiausaha Agung UMNO
Bendahari Agung UMNO
Ketua Penerangan UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional
Presiden MCA
Presiden MIC
Presiden PBRS
Wakil-wakil Kelab UMNO luar negara
Barisan Kepimpinan Parti-Parti Komponen Barisan Nasional
Parti-Parti Bersekutu dalam Barisan Nasional
Sidang perwakilan yang dihormati sekalian, di dalam dan di luar dewan, serta perwakilan-perwakilan dari seluruh negara.
I would like to welcome distinguished guests, Excellencies High Commissioners, Excellencies Ambassadors, and foreign diplomats who are here with us today. We are honoured by your presence. Thank you for being here with us.
Sidang perwakilan yang dihormati;
1. Mengawali bicara, izinkan saya merakamkan tahniah atas kejayaan mengadakan perhimpunan sayap-sayap semalam, persidangan bahagian dan sayap-sayap di seluruh negara.
2. Penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah juga ke atas kemenangan kita dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, dan PRN Johor pada minggu lalu. Jutaan terima kasih kepada rakyat dan pengundi di kedua-dua negeri, atas mandat besar yang diberikan kepada Barisan Nasional, khususnya UMNO. Sesungguhnya ini adalah amanah yang diberikan kepada kita untuk digalas dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan.
3. Kejayaan ini dikecapi hasil kegigihan saudara-saudari dan komitmen kita bersama. Bagi pihak parti dan Barisan Nasional, terima kasih buat:
Jentera pilihan raya UMNO Melaka dan Johor
Jentera UMNO Negeri dari seluruh negara yang sama-sama berganding bahu memastikan parti kita menempa kejayaan
Wanita UMNO yang tidak pernah kenal erti lelah, menjadi penyuluh setiap arah
Pemuda UMNO yang tangkas melangkah; dan
Puteri UMNO yang melengkapi lakaran sejarah
Indah berbalam awan petang
Berarak di atas pohon ara
Wanita Pemuda Puteri terbilang
Johor ditawan selepas Melaka
4. Kita juga tidak lupa kepada panglima-panglima perang yang diterajui Yang Berhormat Timbalan Presiden sebagai Pengarah Pilihan Raya, YAB Perdana Menteri, Menteri-menteri yang membantu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-negeri, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan Bossku, Dato Sri Najib Tun Abdul Razak yang menjadi jurukempen utama kita.
5. Dalam kita gembira menyambut kemenangan ini, di hadapan kita suatu tugasan lebih besar menanti. Bagi dua negeri Melaka dan Johor yang memperolehi mandat besar daripada rakyat, jangan berlengah untuk melaksanakan apa yang telah dibaiahkan. Buktikan mandat yang diberikan oleh rakyat dibalas dengan bakti dan khidmat. Bertindaklah dengan cepat dan bertuturlah dengan cermat agar keyakinan rakyat terus kekal bersama parti keramat.
6. Ingatlah, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kali ini perlu kita terjemahkan untuk mendapat mandat baharu pada pilihan raya umum akan datang. Rakyat amat memerlukan santunan dan perjuangan ikhlas kita.
UMNO BANGKIT
Saudara saudari sekalian
7. Saya mendengar dengan penuh teliti ucapan perasmian Timbalan Presiden kelmarin dan ucapan ketua-ketua sayap semalam, yang sarat dengan ingatan serta kata-kata nasihat kepada perwakilan dalam menghadapi PRU ke-15.
8. Peringatan Timbalan Presiden semalam amat jelas dan perlu dihayati oleh semua warga UMNO. Ia amat berguna dalam menghadapi perjalanan panjang dan berliku kita bersama.
9. Begitu juga perbahasan dan usul setiap perwakilan di setiap sayap yang amat bernas dan sudah pasti berguna dalam strategi mengukuhkan parti dan menghadapi pilihan raya umum.
10. Ini merupakan cetusan hati nurani setiap pembahas yang inginkan bahtera kita belayar menempuh apa saja gelombang atau cabaran. Saya amat teruja dan diharapkan kita di barisan pimpinan tertinggi UMNO bukan hanya mendengar tetapi menghayati hasrat mereka.
Saudara-saudari sekalian
11. Menoleh ke belakang hampir empat tahun yang lalu, kita telah melalui beberapa episod gelombang politik. Kekalahan pada PRU-14 menjadi satu hentaman kuat yang menggegarkan UMNO. Di sebalik keperitan menerima hakikat hilangnya keyakinan rakyat kepada kita pada ketika itu, tindakan segelintir daripada kita mengkhianati amanah rakyat dengan menjadi juara lompat jauh menambahkan lagi parahnya luka yang dialami.
12. UMNO terus diperlekehkan. Dicerca dan dihina dengan pelbagai perumpamaan. Seolah-olah parti ini tidak pernah berjasa kepada negara. Malah mereka yang mencerca juga seolah-olah lupa, betapa parti ini jugalah yang meletakkan mereka di persada kuasa.
13. Namun, semua yang berlaku itu harus dijadikan sempadan. Kita tidak boleh merintih berpanjangan, sebaliknya perlu bangkit semula menyingsing lengan. Rakyat yang mula menzahirkan rasa penyesalan, sudah melalui mahalnya pengalaman, kerajaan yang diharapkan hanyalah khayalan, bersilih ganti kerajaan kerana kecelaruan, bukan rakyat diutamakan sebaliknya ketamakan kuasa dan jawatan.
14. Makanya, sebagai parti yang mempunyai rekod perkhidmatan yang panjang serta terbukti mampu menterjemahkan harapan menjadi kenyataan, kita harus kembali kepada asas iaitu:
Pertamanya, mendirikan semula negara atas keruntuhan yang berlaku; dan
Keduanya, memberikan nafas baharu agar kita mampu mengembalikan citra yang pernah dinikmati oleh negara.
Inilah cabaran yang ada di hadapan kita.
Saudara-saudari sekalian
15. Semestinya kita masih ingat episod kedukaan selepas kekalahan PRU-14. Tiga bulan kemudiannya kita kecundang lagi dalam dua PRK.
16. Lebih menghiris hati kita, apabila berlakunya pengkhianatan rakan sendiri dalam parti. Mereka sanggup mengetepikan perjuangan parti, demi kepentingan diri sendiri.
17. Malah ia merebak ke Sabah, apabila 22 daripada 25 Ketua UMNO Bahagian turut meninggalkan bahtera dan perjuangan. Alhamdulillah, kita masih ada wira-wira di Sabah yang tetap kekal berdiri teguh dengan parti sehingga kini.
18. Wira-wira seperti inilah merupakan lambang kesetiaan lebih 3 juta ahli akar umbi, membawa obor perjuangan UMNO. Kesetiaan seperti inilah yang menjadi api kebangkitan semula. Kita kemudiannya mencipta siri kemenangan dalam tujuh PRK.
19. Rupa-rupanya perancangan Allah begitu cantik apabila kerajaan pusat bertukar kepimpinan dan UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan itu.
20. Ombak kebangkitan ini diteruskan dengan kejayaan UMNO memimpin semula kerajaan di Johor, Melaka dan Perak.
21. Saya pernah menyatakan UMNO akan menerajui semula Kerajaan sebelum PRU ke-15. Alhamdulillah, kini wakil UMNO memegang jawatan Perdana Menteri, menggantikan Perdana Menteri ke lapan yang juga terpaksa melepaskan jawatan.
22. Sesungguhnya manusia merancang, tetapi Allah SWT adalah perancang yang terbaik.
“Dan mereka merancang, dan Allah (juga) merancang. Dan Allah adalah Perancang Terbaik.” – Surah Ali-Imran: 54
Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa ikhlas kita semua.
Saudara-saudari,
23. Kemerosotan ekonomi negara, kesengsaraan hidup rakyat jelata, menyempitnya ruang buat generasi muda untuk mengembangkan potensi mereka, penjarahan dan penjualan khazanah negara, institusi perundangan menjadi alatan penguasa, kerukunan hidup berbilang bangsa diselubungi syak wasangka, pendidikan anak bangsa hilang pedomannya, negara tetangga dan seluruh dunia makin jauh meninggalkan kita, menuntut setiap daripada kita untuk mendirikan semula keruntuhan yang ada.
24. Dengan sebab itu dalam kita hendak mendirikan semula keruntuhan yang berlaku dan memberikan nafas baharu kepada citra negara, kecekalan, kesungguhan, kemampuan dan keyakinan perlu ada pada setiap daripada kita dan juga rakyat yang mengharapkan pembelaan. Sebagai parti perjuangan, UMNO mampu melahirkan ramuan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada terus menggelongsor potensinya.
25. Kecekalan dalam erti kata seluruh orang UMNO harus punya kekuatan untuk mempertahankan perjuangan membela nasib umat Melayu. Cekal menghadapi apa jua cabaran yang mendatang, kerana kita yakin dengan matlamat dan hala tuju perjuangan. Biar menderu fitnah dan mehnah yang dilemparkan, tidak goyah pegangan kita untuk terus melangkah ke hadapan. Biar ada yang celupar mengatakan UMNO sudah mati, dah nak masuk longkang, tetapi dengan kecekalan kita bangkit semula menempa beberapa siri kejayaan.
26. Kecekalan perlu disusuli dengan kesungguhan. Jangan mudah berputus asa. Bersungguhlah kita dalam menabur khidmat dan jasa. Pastikan keberadaan UMNO di tengah-tengah persada rakyat dapat dirasai. Berkhidmat dan berbakti bukan sesuatu yang asing buat kita. Inilah kekuatan UMNO selama ini yang dinikmati oleh rakyat seawal usia.
27. Semua ini boleh dilaksana hanya jika kita ada kemampuan. Kita harus mampu menyelami permasalahan rakyat dan negara, bagi menawarkan jalan keluar yang tuntas. Akibat kegagalan dua kerajaan sebelum ini mengurus ekonomi negara dengan baik, berlaku aliran keluar modal asing, atau ‘capital flight’ yang cukup besar. Negara menyaksikan pengaliran keluar bersih modal, atau ‘net capital outflow’ sebanyak RM166.1 bilion selepas PRU-14 sehingga kini.
28. Pemberhentian operasi syarikat asing di negara ini dan perpindahan operasi ke negara jiran, memperlihatkan merosotnya keyakinan pelabur kepada negara kita. Maka dengan sebab itu, kita perlu ada kemampuan menyusun semula strategi untuk menarik kembali pelaburan luar ke negara ini. Dengan strategi dan jalinan hubungan baik dengan negara-negara luar, kita yakin akan dapat melonjakkan semula pelaburan asing di negara ini, yang kesannya bukan sahaja merancakkan kembali kegiatan ekonomi tetapi jauh lebih penting, limpahan kerancakan tersebut sudah pasti dinikmati rakyat secara langsung melalui wujudnya peluang pekerjaan dan wujudnya rantaian perniagaan. Di samping itu, sektor-sektor pertumbuhan baharu juga perlu dikenal pasti untuk meningkatkan peluang guna tenaga anak-anak muda kita.
29. Justeru, kita wajib punya keyakinan bahawa UMNO adalah wadah politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara. Rakyat juga setelah melalui pengalaman dua kerajaan terdahulu, satu 22 bulan dan satu lagi 17 bulan. Mereka dapat menyaksikan sendiri karenah semua parti yang pernah menjadi kerajaan dalam tempoh hampir empat tahun ini.
30. Banyak yang indah khabar daripada rupa. Yang menjanjikan harga minyak turun ada, yang menjanjikan penghapusan tol ada, yang menjanjikan satu juta pekerjaan ada, yang menjanjikan penghapusan hutang PTPTN ada, yang mengatakan manifesto bukan kitab suci ada, namun semuanya khayalan semata. Jadinya rakyat perlu yakin bahawa pilihan terbaik buat mereka kini adalah UMNO dan Barisan Nasional.
UMNO MENGEMUDI PEMBAHARUAN (REFORM)
Saudara-saudari,
31. Cakap-cakap soal pembaharuan atau reform hanya bersifat tempelan dan laungan slogan semata-mata. Tiada agenda pembaharuan besar mereka laksanakan seperti yang dijanjikan sebelum PRU-14 lalu. Sebaliknya, pembaharuan yang mereka lakukan adalah menamatkan perkhidmatan kakitangan kontrak kerajaan, menutup peranan agensi kerajaan dan menghapuskan skim-skim bantuan buat rakyat.
32. Keadaan ini sudah tentu memberikan isyarat yang salah kepada rakyat. Rakyat mengharapkan perubahan dan pembaharuan, namun cakap-cakap siapa pun naik menjadi kerajaan sama saja mula kuat kedengaran. Penambahbaikan kepada sistem pentadbiran Barisan Nasional yang kononnya dituduh tidak elok, tidak juga berlaku, kerana sistem pentadbiran negara sudah teratur dengan baik. Direct nego yang dituduh menjadi amalan untuk UMNO-putra, berlaku lagi hebat di zaman mereka.
33. Institusi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM diletakkan di bawah kuasa orang politik sebagai Ketua Pesuruhjayanya. Kes-kes yang melibatkan mereka semuanya dirunding semula oleh Peguam Negara. Kesemua ini menjadi bukti bahawa parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan selepas PRU-14 dahulu bukanlah merupakan ejen, pembaharuan yang tulen. Sebaliknya laungan pembaharuan mereka, hanya untuk memikat ke puncak kuasa. Langkah yang dilakukan mereka bersifat vindiktif, atau membalas dendam.
34. Malah, mereka juga yang kononnya mempertahankan prinsip integriti, sanggup ‘membeli’ wakil-wakil rakyat kita untuk melompat menyertai mereka. Pada mereka amanah rakyat boleh diperkotak-katikkan. Mereka membina kekuatan dengan cara yang tidak bermaruah.
35. Hakikatnya, parti selain UMNO dan BN tidak ada prinsip moral untuk bercakap soal lompat parti atau lompat ‘katak’ contohnya. Dalam PRN Melaka umpamanya, PH menerima ‘katak’ menjadi calon mereka. PN apatah lagi, parti induknya PPBM berdiri di atas pelompat-pelompat parti yang cuba disucikan dengan gelaran “KATAK BERPRINSIP”. Perbuatan mereka ini ibarat “berkokok berlagak suci tapi ekor bergelumang tahi”
36. Rakyat yang terpesona dengan lunaknya dendangan mereka, akhirnya terpedaya dan mula meluahkan rasa kecewa apabila bermulanya perebutan kuasa sesama mereka, hingga meruntuhkan kerajaan mereka sendiri.
37. UMNO yang menjadi mangsa kepada percaturan politik mereka, akhirnya menjadi penyelamat kerana bersetuju untuk menyertai kerajaan baharu demi memastikan negara dapat ditadbir urus dengan baik. Bukan UMNO yang meruntuhkan kerajaan ketika itu. Malah selepas keruntuhan kerajaan mereka, UMNO dengan tegas menuntut agar pilihan raya umum diadakan semula kerana mandat rakyat telah diperdagangkan oleh mereka yang rakus untuk terus bergayut di puncak kuasa.
38. Kita sudah sebut mengenai pengkhianatan lompat parti beberapa kali sebelum ini. Memang ia adalah pengkhianatan kepada amanah rakyat dan ahli parti yang bertungkus-lumus bersengkang mata bekerja untuk memenangkan setiap Ahli Parlimen kita.
39. Kita komited kepada kepentingan rakyat. Apa sahaja yang perlu untuk memastikan kepentingan rakyat terlaksana, hak mereka terbela, kita tidak perlu tunggu kerajaan pinda undang-undang atau buat akta baharu untuk membantu mereka.
40. Itulah sebabnya kita proaktif mewujudkan perjanjian dengan semua calon yang bertanding dalam PRN Melaka dan Johor. Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat, kita pastikan mereka membayar dengan harga yang mahal. Kita tidak mahu siri lompat-melompat berterusan selepas ini.
41. Kita juga akan adakan perjanjian yang sama dengan calon-calon yang akan bertanding dalam setiap pilihan raya akan datang, sama ada PRK, PRN atau PRU. Kita yakin, Barisan Nasional menang dan memerintah di Melaka dan Johor, adalah kerana rakyat memilih parti, rakyat memilih jenama atau ‘brand’ BN, dan tidak kerana mana-mana individu yang bertanding. There is no one bigger than the party!
42. Ada golongan yang tidak reti nak berterima kasih. Mereka lupa, mereka mendapat jawatan dan kuasa pada awal dahulu adalah kerana sokongan kita. Tetapi apabila berkuasa, kita diberi bermacam-macam gelaran, kluster itu dan kluster ini. Kalau mereka bercakap benar, kenapa mereka minta golongan yang mereka gelar sebagai kluster mahkamah untuk menyokong mereka mendapatkan kuasa dahulu? Bukankah sokongan sebegitu tidak bermoral? Jelas, mereka hanya berminat untuk terus menerus berpolitik tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. Ingat, kluster Putrajaya itu hanya belum dikenakan caj, dan belum dibersihkan daripada cakap-cakap kedai kopi.
43. Selepas mendapat sokongan, mereka yang berkuasa secara sistematik tidak mahu berikan jawatan kepada para penjawat dalam parti, walaupun mereka lebih berhak, dan lebih berketrampilan untuk mewakili parti dalam kerajaan. Hanya pemimpin yang lemah yang tidak mahu orang-orang bijak pandai dan berketrampilan membantu memimpin dan membina negara. Weak leader chooses weak followers!
44. Dalam lagenda Helen of Troy, seorang wanita telah menghancurkan sebuah negara daripada dalam. Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita. Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita. They never love us! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi?
45. UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan Negara. Kita faham bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah hak YAB Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong. Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri.
Saudara-saudari,
46. Semua kejadian ini menuntut satu pembaharuan institusi politik dilaksanakan segera, demi memastikan kecelaruan politik dapat dinokhtahkan. UMNO pantas dan terkehadapan mendepani soal pembaharuan institusi politik ini. Cadangan memperkenalkan Undang-Undang Anti Lompat Parti, dan pendanaan politik telah diangkat oleh wakil rakyat UMNO di Parlimen di tengah-tengah parti mereka saling melompat antara satu sama lain.
47. Sehubungan itu, UMNO perlu tampil berani untuk bercakap soal pembaharuan institusi politik termasuk pembaharuan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, bagi memastikan suara rakyat dimartabatkan dalam soal penggubalan undang-undang negara dan negeri.
KELESTARIAN EKONOMI
Sidang Perwakilan yang dihormati,
48. UMNO dan BN adalah suara sederhana. Keseimbangan dan keadilan menjadi asas pergerakan parti sejak Perikatan lagi. Diperkukuhkan dengan BN yang lahir seiring dengan Dasar Ekonomi Baru. BN adalah believer kepada suara sederhana dan suara pembaharuan. Kepelbagaian latar kaum, agama dan budaya menjadi kekuatan yang kita bentuk acuannya sejak dahulu lagi.
49. Kita tidak bercakap soal sama rata, sebaliknya keadilan untuk semua. Toleransi yang dipamerkan oleh pemimpin terdahulu telah membawa kepada kestabilan dan saling memahami antara kita. Dalam konteks DEB contohnya ia adalah suara pembaharuan yang dibawa oleh Parti Perikatan yang diteruskan oleh Barisan Nasional. Keberanian menyusun dasar untuk Bumiputera tidak pula mengetepi atau menafikan hak kaum lain malah turut dijamin dan dipelihara.
50. Inilah susur galur asas perjuangan yang kita warisi. Malah pendekatan ini akan terus dikembangkan. Seiring dengan perkembangan dan meningkatnya kerencaman masyarakat daripada sudut pandang politik dan tatakelola (tadbir urus) kerajaan, UMNO mesti tangkas mendepani soal pembaharuan. Contohnya sebelum PRU ke-14, Transformasi Nasional 2050 (TN 50), adalah pembaharuan besar apabila pendekatan yang diambil untuk membentuk negara bangsa dilaksanakan melalui pendekatan mengangkat suara dari bawah ke atas demi kelangsungan generasi masa hadapan.
51. Hakikatnya hari ini, setiap tahun lebih 300 ribu graduan baharu dihasilkan, tetapi hanya 70 ribu peluang kerja disediakan bagi menyerap graduan-graduan ini, ini bermakna terdapat 230 ribu graduan lain terpaksa menganggur.
52. Selain itu, terdapat kira-kira 1.9 juta orang yang masuk dalam statistik mempunyai pekerjaan tetapi sebenarnya berstatus underemployed. Iaitu sama waktu kerja mereka kurang dari jumlah jam yang mereka sanggup bekerja, ataupun mereka ini punya kelulusan tinggi tetapi terpaksa bekerja di dalam pekerjaan yang tidak memanfaatkan kepakaran mereka.
53. Kita harus sedar bahawa pengangguran dan underemployment adalah satu bentuk kerugian kepada negara, ia merupakan satu pembaziran sumber daya manusia.
54. Sekiranya mereka yang menganggur ini berpeluang untuk bekerja, sudah pastinya saiz ekonomi negara akan jauh lebih besar dari sekarang hasil dari pertambahan output dan perkhidmatan yang dihasilkan. Sekiranya underemployment terhapus, dan pekerja yang berkepakaran berpeluang untuk bekerja di dalam pekerjaan yang mereka punya kemahiran, maka mereka akan dapat memberikan sumbangan produktiviti yang jauh lebih besar kepada ekonomi.
55. Kelembapan ekonomi dan kejatuhan pelaburan merupakan punca utama kepada pengangguran di kalangan anak muda meningkat. Dengan itu, kita perlu mencari idea baharu yang dapat membantu dalam memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 ini.
56. Pelan pemulihan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada polisi yang mantap, tetapi juga sangat bergantung kepada kestabilan politik agar pelan ekonomi yang dirangka dapat dilaksanakan tanpa gangguan politik yang hanya akan mengganggu fokus Kerajaan.
DINAMIK POLITIK
Saudara-saudari,
57. Politik sifatnya sangat dinamik. Kedinamikannya berubah sederas perubahan iklim politik. Dahulunya, selama 22 bulan UMNO menjadi pembangkang mana mungkin berbekalkan hanya 79 kerusi yang dimenangi, kita boleh membentuk kerajaan. Jauh daripada majoriti mudah 112 kerusi. Kemudian, selama 17 bulan berikutnya UMNO dan BN menjadi sebahagian kerajaan. UMNO menyumbang 39 kerusi dan komponen BN 4 kerusi. Biarpun UMNO penyumbang terbesar bagi pembentukan kerajaan ketika itu, namun UMNO hanya dianggap bagai melukut di tepi gantang.
58. Natijahnya, dasar-dasar kerajaan tidak memperkirakan rasa kebersamaan dalam ikatan politik atas dukungan kepada kepimpinan kerajaan ketika itu. Malah portfolio anggota pentadbiran kerajaan, Menteri dan Timbalan Menteri yang utama tidak diperuntukkan kepada UMNO, kerana haloba kuasa setelah berada di puncak kuasa.
59. Malah pada masa yang sama, UMNO cuba dipecah-perintah (divide and rule) dengan tawaran ‘scheme of things’. Demi kuasa, rakyat dizalimi dengan pengisytiharan darurat. Rakyat dikurung, bendera putih berkibaran tanda rakyat dalam kesusahan, malahan kejadian bunuh diri dalam kadar purata empat kematian sehari.
60. Selama 17 bulan kerajaan gagal, UMNO turut menanggung sebahagian daripada kegagalan itu. Sehingga suasana gawat terpaksa diselamatkan oleh 15 Ahli Parlimen yang bertindak menarik semula sokongan sesuai dengan keputusan parti. Manakala 23 Ahli Parlimen UMNO yang lain mendukung kepimpinan pemimpin kerajaan gagal itu. Ini semua merupakan fakta sejarah.
61. UMNO bernasib baik kerana agenda parti lebih diutamakan oleh semua Ahli Parlimennya dengan dukungan kepimpinan parti bagi menamakan seorang pemimpin UMNO untuk mengetuai kerajaan. Parti dan kerajaan bergerak seiringan. Namun parti-parti lain di luar kepompong UMNO dan BN turut diperkirakan kepentingannya bagi penyertaan mereka.
62. Biarpun pemimpin utama kerajaan dari UMNO, namun hakikatnya UMNO bukan parti dominan. Dasar-dasar penting biarpun tidak disanggah secara terbuka, namun di belakang suara-suara sumbang sering kedengaran. Malah terdapat arahan-arahan dan minit-minit tertentu untuk kepentingan rakyat tidak pun diendahkan.
63. Terdapat skru-skru yang wajib diperketatkan. Longkang-longkang yang tersumbat mesti dibersihkan dari sampah sarap.
64. Kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan UMNO. Bukan kita yang tebuk atap, dan bukan kita yang buka pintu belakang. Sampah sarap begini tidak harus dipalitkan kepada UMNO.
65. Kita ada prinsip. Kita ada maruah. Kita ada kekuatan. Kita tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan tekan butang di sini’. UMNO bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki.
66. UMNO dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka. Tabur wang sana-sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan. Tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain. Rakyat bukan buta dan pekak, yang boleh diperdaya dengan mudah. Itu tanda mereka yang sebenarnya gila kuasa.
MENDEPANI FITNAH DAN MEHNAH
Saudara-Saudari,
67. Dalam ucapan Perhimpunan Agung pada 7 Disember 2017, Presiden parti ketika itu, Yang Berhormat Datuk Seri Najib menekankan bahawa bukan budaya UMNO untuk merendah-rendahkan orang lain. Katanya: “UMNO dalam usia lebih 7 dekad makin matang dan mengamalkan politik sihat, serta cenderung kepada politik pemersatuan, yang tidak confrontational atau berwatak ‘kaki gaduh’, apatah lagi untuk mengaibkan, sampai sanggup membunuh karakter lawan.”
68. Saya berpandu kepada sikap yang dibina oleh Rasulullah SAW, apabila ada sahabat yang meminta baginda berdoa agar diturunkan laknat ke atas musyrikin yang mengganggu umat Islam, baginda bersabda:
“Sesungguhnya aku diutus bukan untuk menjadi pelaknat, tetapi aku diutus untuk menjadi rahmat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa melaknat bukanlah kebiasaan seorang Muslim.
69. UMNO hari ini mesti dianjakkan ke hadapan. Kita bersama dunia sedang melangkah ke penggunaan teknologi komputer semaksimum mungkin. UMNO boleh pelajari dan mengguna teknologi ini untuk menyanggah semua dakyah yang menjadi bahan dan umpat keji daripada pembenci.
70. Media sosial ini bukan baharu. Ia boleh menjadikan parti lebih berketerampilan, khususnya kepada golongan muda dan pengundi baharu. Ia adalah teknologi yang harus kita santuni. Syabas kepada BN Comms dan PUMAS yang berperanan sebagai senjata tempur siber kita. Namun, suka saya ingatkan kejayaan paling utama dalam penggunaan media sosial adalah kekerapan dan mesti konsisten.
PERANAN WANITA, PEMUDA, PUTERI DAN GENERASI MUDA
Para perwakilan yang dihormati,
71. UMNO beraksi dalam landskap politik yang dinamik. Banyak faktor pengubah yang harus disantuni, atau kita akan ketinggalan, menjadi kurang ampuh dan mudah ditewaskan dalam gelanggang yang dikuasai begitu lama.
72. Kita sudah kemukakan lebih 72 peratus calon-calon muka baharu, malah daripada kalangan Wanita, Pemuda dan Puteri diturunkan pada tiga PRN, Sabah, Melaka dan Johor. Hasilnya cukup membanggakan. Kita menaruh harapan besar kepada pemimpin pelapis yang bakal mencorakkan masa depan parti. Pemimpin yang sezaman dengan saya tidak akan menongkat langit. Generasi baharu tetap akan mengganti.
Nan tuo dihormati
Nan ketek disayangi
Samo gadang baok bakawan
Ibu jo bapak diutamokan.
73. Setianya Wanita UMNO kepada perjuangan parti tidak boleh disanggah. Wanita UMNO adalah ibu perjuangan dan saya menyaksikan kehebatan dan komitmen mereka beraksi di tiga PRN termasuk di Johor baharu-baharu ini.
74. Pelancaran Cyber Rangers Wanita atau CReW baru-baru ini membuktikan bahawa Wanita menyedari dan menyahut cabaran perkembangan teknologi dalam menyantuni politik semasa. CReW adalah platform penting bagi Wanita UMNO seluruh negara mendapat infomasi sebenar mengenai sesuatu isu dan menyalurkannya kepada rakyat dan pengundi.
75. Wanita UMNO dan tugasan Jalinan Rakyat (JR) sudah sebati. Malah, inilah kekuatan UMNO yang tidak dimiliki parti lain. Namun, proses urbanisasi menjadikan tugasan ini perlu diubahsuai dengan imaginasi baharu. Wanita pasti ada penyelesaian mantap bagi memastikan peranan JR tetap relevan dan terkini, khususnya bagi mengatasi halangan mendekati komuniti dan pengundi dalam kawasan komuniti berpagar. Sumbangan mereka dalam PRK-PRK dan PRN-PRN terkini amat menyerlah dan tidak boleh sesiapapun nafikan.
Syabas Wanita UMNO.
76. Paluan gendang perang menghadapi PRU-15 kian kuat bergema. Dalam siri PRN Sabah, Melaka dan Johor telah menyaksikan transisi jentera PACABA. Integrasi jentera PACABA antara generasi telah dibuktikan dengan hampir 60% anak muda terlibat sebagai PACABA di PRN Johor. Senario ini memberikan kesan positif kepada parti bahkan boleh menyemarakkan penglibatan anak muda dalam perjuangan UMNO.
77. Kita turut bangga dengan pencapaian Pergerakan Pemuda UMNO yang dapat merekrut seramai 36,755 anggota skuad Sabil yang melibatkan 6,861 PDM di seluruh negara. Begitu juga dengan penubuhan Putera UMNO yang bakal menjadi wira di barisan hadapan. Ternyata mereka adalah benteng pertahanan kita.
78. Parti juga perlu memperakui peranan besar Puteri UMNO. Unit Risik Puteri (URP) dan IT Puteri berperanan dengan berkesan. Begitu juga penganjuran program Mantap IT secara berkala dengan pendekatan yang segar, baharu dan terkini membuktikan Puteri UMNO peka dengan keperluan semasa dan sebagai persiapan bagi menghadapi PRU-15 nanti.
79. Namun, antara wasilah baharu dalam komunikasi politik adalah melalui ‘influencer media sosial’. Saya percaya, Pemuda dan Puteri berpotensi tinggi untuk memainkan peranan ini bagi menarik anak muda mendukung aspirasi perjuangan UMNO. Jadikan media sosial sebagai platform mendekati anak muda. Hasilkan seberapa banyak ‘content’ TikTok, Youtube dan Instagram yang ‘power’, ‘simple’ dan ‘viral’ khususnya berkaitan undi 18 dan isu-isu semasa yang mampu mempengaruhi dan mencorak pola fikir anak muda. Jadilah content provider yang cemerlang. Kempen secara maya bukan lagi sampingan tetapi ia sudah menjadi medan komunikasi paling utama.
80. Sungguhpun UMNO kerap dijadikan sasaran dan tuduhan yang menyatakan bahawa orang muda tidak lagi bersama UMNO, kita sudah buktikan sebaliknya di Melaka dan Johor.
81. Tidak boleh tidak, jika mahu kekal relevan, UMNO perlu menuruti derasnya arus perubahan fikiran golongan muda ini. Pelaksanaan undi 18 adalah manifestasi besar perubahan dalam landskap politik negara, yang mana ia menuntut usaha keras UMNO untuk memenangi hati mereka, dan menawarkan solusi kepada permasalahan dan cabaran yang sedang mereka hadapi.
Saudara perwakilan sekalian,
82. Satu kajian menunjukkan, 64.5 peratus golongan muda kurang berminat dengan politik, dan cenderung menjadi pengundi non-partisan. Mereka beranggapan, politik negara kini penuh dengan ‘drama’ dan adegan rebut kuasa, namun mereka tetap mengikuti perkembangannya di laman media sosial.
83. Pola fikiran mereka dibentuk melalui apa yang dipaparkan di media sosial. Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO sewajarnya menangani persoalan ini. Wujudkanlah budaya prihatin politik, demi menarik anak muda menghampiri UMNO.
AKUR PILIHAN AKAR UMBI
Saudara-saudari sekalian,
84. Adat ahli adalah menghormati keputusan parti. Sebanyak 186 bahagian daripada 190 bahagian yang telah bermesyuarat dan bersetuju agar pemilihan parti
diadakan selepas pilihanraya umum. Ini bukan keputusan saya. Ini keputusan Saudara-Saudari sewaktu Mesyuarat Perwakilan di Bahagian masing-masing. Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan. Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stokin!
85. Ya, kita hormati saranan sebilangan kecil yang mahukan pemilihan diadakan sebelum PRU. Ini sekadar cadangan yang melambangkan wujudnya demokrasi dalam parti. Kita percaya mereka tiada sebarang motif. Jika sesuatu mesyuarat semuanya dianggotai oleh ‘yes man’, tak perlulah bermesyuarat.
86. Kita sudah tetapkan mengikut persetujuan Pendaftar Pertubuhan bahawa pemilihan parti diadakan pada akhir tahun ini, atau secara tepatnya sebelum 29 Disember 2022. Siapa pun boleh bertanding, termasuklah jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan seterusnya. Bukan saya tidak tahu, sekarang pun sudah ada berpasang-pasangan, ada cai, harap-harapnya pasangan-pasangan tu kekal la…
87. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan peluang memimpin parti ini, dan mempertahankannya daripada pelbagai serangan, termasuklah percubaan untuk melumpuhkannya. Kita kenal pasti mereka, namun semangat kepartian dan setia kawan mengatasi segala-galanya. Biarpun saya perlu ada ‘some benefits of the doubt’, yang paling saya utamakan ialah kelestarian parti.
88. Saya mungkin dilihat banyak berdiam diri dan bertolak ansur, namun itu tidak bererti saya leka. Janganlah uji saya banyak-banyak. Usahlah asak saya sampai ke dinding. Saya tidak maksum. Saya tidak sempurna. Setiap perbuatan kita perlu ada hadnya! Saya tidak ambil kisah dengan serangan orang luar… alah bisa tegal biasa. Tetapi saya kecewa dengan mereka yang menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengkhianati parti dari dalam.
89. Sedarlah! Budaya kita tidak mencerca kawan, biar kita dinista dari segenap arah. Namun kita perlu sentiasa waspada. We have to draw the line dalam persahabatan. Ada kawan yang bersama kita sehingga akhir hayat. Malah, ada kawan yang meninggalkan kita sewaktu kita susah, dan ada pula yang berkawan dengan kita secara bersyarat. Jadi, pilihlah kawan yang benar-benar ikhlas dan jujur. Pilihlah kawan dunia akhirat. Pilihlah kawan-kawan yang taat dan setia kepada parti. Dalam lawan ada kawan, dalam kawan ada lawan.
PENJENAMAAN BN DAN MEREKAYASA SOSIOPOLITIK
Saudara-saudari sekalian,
90. Pasca PRU14 juga menyaksikan BN dijenamakan dan penstrukturan semula untuk menjadikannya lebih teguh dalam misi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dan membentuk kerajaan.
91. Penjenamaan BN terletak pada tawaran kepada rakyat secara komprehensif dan bagaimana BN boleh kekal relevan kepada rakyat. Umpamanya, syarikat telekomunikasi seperti Apple dan Samsung, serta syarikat automotif seperti Mercedes dan BMW yang memiliki jenama kukuh dan diyakini. Meskipun pelbagai jenama baharu mengeluarkan produk yang serupa, pengguna tetap memilih jenama-jenama besar ini. Begitulah BN di hati rakyat walaupun pelbagai parti baharu ditubuhkan
92. Itulah kekuatan jenama BN yang kita perlu tonjolkan. Keunggulan ini dicemburui, malah ada pihak yang meniru jenama kita. Ingatlah jenama kita adalah BN atau Dacing, manakala calon adalah penyampai perkhidmatan. Tidak hairan calon kita diterima jenama BN sentiasa memberi perkhidmatan terbaik selama ini.
93. Dalam memasarkan jenama BN menyaksikan kita membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk menyertai gelanggang politik.
94. Penjenamaan BN bukan sekadar satu penjenamaan atas nama politik semata tetapi juga atas dasar aspirasi rakyat yang dahagakan politik sosial yang menguntungkan rakyat. Merekayasa politik sosial melalui penjenamaan BN adalah kunci kepada kejayaan BN dalam PRN Johor dan Melaka dan juga persediaan BN untuk hadapi PRU yang ke-15.
Saudara perwakilan sekalian,
95. PRU-14 rakyat berharap,
Mandat diberi tapi dikhianat,
PH dan PN Jatuh Tertiarap,
Doa rakyat doa keramat.
Mandat rakyat kuasa keramat,
Dari-Nya hadir sebuah rahmat,
Jangan dinoda dengan muslihat,
Kelak merana hidup dilaknat.
Susahnya hidup tanpa mandat,
Ditelan pahit diludahnya kelat,
Buat sesuatu tersekat-sekat,
Menagih ihsan mereka yang khianat.
Deritanya rakyat tanpa mandat,
Negara pula semakin tenat,
Jangan dibiar terusnya mudharat,
Pulangkan semula kepada rakyat.
PRU-15 menjadi tempat,
Untuk kita mendapat mandat,
Rakyat dibela setulus keringat,
Negara aman, sejahtera dan selamat.
Sentiasalah beringat;
Jika hendak mendapat mandat,
Teruslah usaha santuni rakyat,
Jika hendak rasa dihormat,
Hasrat rakyat jangan dikhianat.
Jika hendak terus selamat,
Sesama kita kekal muafakat,
Jika hendak mengekal mandat,
Kestabilan kunci setiap saat.
DAYA NEGARA
96. Agenda melestarikan politik negara menjadi fokus utama UMNO. Kedinamikan politik ini, kita hadapi dengan 5 teras utama yang menjadi DAYA kita:
DAYA PERTAMA: PEMULIHAN EKONOMI:
Kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan perang Rusia-Ukraine memberikan impak kepada ekonomi negara. Kita fokuskan agenda pemulihan ekonomi kepada:
i – Meningkatkan kuasa beli rakyat dengan pelaksanaan segera gaji minimum RM1,500. 00
ii – Mengkaji semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Jualan (GST) pada kadar yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.
DAYA KEDUA: PELUANG PEKERJAAN:
Penggangguran bukan lagi isu picisan. Ia membabitkan makan-pakai rakyat. Peluang pekerjaan mesti diwujudkan dengan:
i – Mewujudkan Jawatankuasa khas hal-ehwal pekerjaan negara yang melibatkan anak muda.
ii – Menyediakan insentif kepada anak tempatan yang terlibat dengan sektor pekerjaan 3D “dirty, difficult and dangerous” (kotor, sukar dan bahaya) termasuk menyediakan Latihan yang sewajarnya.
iii – Bagi menggalakkan anak muda menyertai gig ekonomi sebagai gigger, dan akta pekerja gig perlu diperkenalkan segera.
DAYA KETIGA: KEUSAHAWANAN WIBAWA
Keusahawanan ada adalah penggerak kepada ekonomi negara. Lahirnya ramai ramai usahawan akan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda. Perkasakan sektor keusahawanan menerusi:
i – Penyediaan insentif kepada anak muda yang terlibat dengan sektor pertanian, agro-pelancongan dan pemain industri dalam talian (online business).
ii – Mempermudahkan proses pinjaman kredit kepada usahawan baharu dengan melonggarkan syarat-syarat pinjaman.
iii- Mengurangkan birokrasi dalam pemberian pinjaman kepada anak muda dan usahawan baharu.
DAYA KEEMPAT: INTEGRASI PENDIDIKAN
Soal Pendidikan bukan hanya berkisar pembangunan prasarana semata-mata. Usaha menaiktaraf Sekolah daif mesti diteruskan, guru-guru duka lara dibantu tetapi itu sahaja tidak memadai bagi mendepani perkembangan dunia pendidikan yang semakin kompleks. Penting bagi kita meneruskan agenda integrasi pendidikan supaya soal duniawi dan ukhrawi yang bergerak seiring dengan:
i – Melahirkan lebih ramai huffaz professional (arkitek-huffaz, peguam- huffaz), UMNO pernah mempelopori hasrat melahirkan 125 ribu huffaz professional, Hasrat ini patut diteruskan
ii – Memperkasakan roh dan jasad institusi-institusi Pendidikan Islam seperti baik pulih prasarana maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan integrasikan manhaj pengajaran dan pembelajaran
DAYA KELIMA: REFORM AGENDA RAKYAT
Reform bukan revolusi tetapi reform agenda rakyat satu keperluan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan dapat dipulihkan. Reform agenda rakyat dilakukan dengan:
i – Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya Negara, untuk mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa dan berlakunya pendakwaan terpilih yang menjurus kepada mengaibkan dan membunuh karektor seteru politik
ii – Undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih. Kestabilan negara terjejas dengan tindakan lompat-melompat, terhakisnya prinsip dan wala’ parti. Rakyat menjadi mangsa akibat kerakusan ahli politik yang pentingkan diri berbanding rakyat.
iii – Undang-undang Pendanaan Parti Politik. Tiba masanya rakyat difahamkan dengan pendanaan parti politik. Kenapa pendanaan politik wujud. Kekeliruan rakyat dalam soal ini telah diambil peluang oleh seteru politik membunuh karier politik lawan.
iv – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes-kes yang berkait dengan kepentingan rakyat seperti kes arwah Adib, Tabung Haji dan yang paling penting siasatan terhadap pendedahan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam bukunya.
Saudara-saudara perwakilan.
97. Perhimpunan Agung ini wajib mendengar suara akar umbi. Janganlah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung, namun tidak setitis pun hujan jatuh ke bumi.
98. Untuk itu, saya mengharapkan agar kita kembali kepada rakyat. Serahkan semula kepada mereka. Berilah mandat baharu kepada UMNO. Ketika orang sayang kita, sambutlah kasih sayang mereka. Jangan ditagih kasih itu selepas ianya hilang. Makin bertangguh, makin melaratlah rakyat, makin rosaklah negara.
99. UMNO tidak sombong tetapi tidak rela digonggong,
UMNO bukan angkuh tetapi tidak rela diselingkuh,
UMNO tidak goyah walau berdepan banyak dakyah,
UMNO tidak gentar oleh asakan bak halilintar,
UMNO tetap sejati biarpun ada yang mahu ia mati,
UMNO ada jutaan ahli yang tidak rela dibuli,
UMNO untuk agama, bangsa dan negara…dulu kini dan selamanya
100. Terima kasih kepada para pemimpin, perwakilan dan ahli UMNO di seluruh negara. Marilah kita tumpukan kepada gerak kerja dan kolaborasi dalam kalangan kita. Kita perkasakan tekad untuk berjuang mempertahankan parti dan menjadikan UMNO dominan. Di tangan saudara-saudarilah kejayaan mampu digenggam. Kepada Allah kita bertawakkal.
101. Dengan lafaz wassabih-bihamdirab-bika wastaghfir, innahu kana tawwaba, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2021.