Pilihan EditorTwo Cents

Genggaman Muafakat Nasional Jangan Dilepaskan – Penganalisis

 Oleh Faisalludin Yusuff

 

Saya tertarik dengan perkembangan politik semasa setelah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO mengeluarkan kenyataan rasmi pada 30.7.2020 yang lalu. Beliau di dalam kenyataan tersebut antara lainnya telah menyatakan bahawa:

UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam (iaitu 29.7.2020) di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN.

Dilihat akan perkara itu terangkum;

Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi.

Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

Saya akan menyerahkan kepada JK Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara.

 

Susulan dari itu, PAS melalui Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan kenyataan media yang bertajuk “PAS PERTEGAS KOMITMEN DALAM MUAFAKAT NASIONAL DAN PERKUKUHKAN KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL”. Intipati kenyataan tersebut antara lainnya berbunyi:-

YB. Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempertegaskan bahawa PAS akan terus komited untuk bersama UMNO dalam Muafakat Nasional terutama dalam usaha memperkasa sekaligus mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional demi untuk kepentingan negara dan rakyat Malaysia umumnya.

Sehubungan itu PAS amat bersetuju dengan penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa Ahli Parlimen BN akan terus kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin.

PAS yakin kepimpinan yang diterajui bersama oleh parti-parti yang mendukung Perikatan Nasional akan terus memberikan perkhidmatan terbaik di samping akan mengemukakan tawaran baru yang lebih bermanfaat kepada semua rakyat pelbagai kaum tanpa kecuali.

Tidak terhenti setakat itu, Presiden UMNO dan Presiden PAS sama-sama telah mengeluarkan posting gambar pertemuan mereka berdua di Parlimen pada 3.8.2020 yang mendapat reaksi yang amat positif dari netizen.

Disusuli pula selepas itu posting oleh Presiden PAS pada hari yang sama gambar mesra beliau bersama Muhyiddin dan Ahmad Zahid. Posting ini juga mendapat reaksi yang sangat positif dari para netizen.

Walaupun politik ini ada pasang surut dan dinamik sifatnya, tetapi dengan melihat kepada keserasian dan konsistensi pendirian politik kedua-dua parti Melayu terbesar di negara ini, MUAFAKAT NASIONAL ternyata jenama wadah baharu ummat Melayu dan rakyat pelbagai kaum negara ini yang perlu diperkasakan.

Rakyat semakin tertarik dan berkeyakinan, persefahaman MN boleh menawarkan Kerajaan yang bersih, stabil, sederhana dan progresif jika jenama wadah ini bertanding dalam PRU ke 15 nanti.

MN juga tidak seharusnya menghadkan penglibatannya kepada UMNO dan PAS semata-mata, tetapi dengan penyertaan PPBM yang dipimpin oleh Perdana Menteri ke-8 serta parti-parti lain akan menguatkan lagi perpaduan umat Islam dalam memajukan negara ini bersama pemimpin bukan Melayu yang lain.

PPBM di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin kini menghadapi ujian yang agak getir kesan dari pengumuman oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima Ahli Parlimen yang setia dengan beliau yang telah menubuhkan parti baharu sebagai blok ketiga.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pengumuman di media sosial oleh kepimpinan dan ahli akar umbi PPBM yang keluar parti dan menyokong Mahathir. Situasi ini pasti memberi impak yang tidak baik kepada PPBM pimpinan Muhyiddin secara langsung atau tidak langsung.

Memandangkan perjuangan PPBM, UMNO dan PAS mempunyai persamaan yang menginginkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dengan kemajuan, toleransi, ekonomi dan kestabilan politik, memilih menyertai MUAFAKAT NASIONAL adalah pilihan terbaik buat penyokong parti politik masing-masing.

Malah ketiga-tiga parti telah bersepakat memilih Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-9 sekiranya memenangi PRU-15 nanti seperti yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS melalui kenyataannya pada 7.8.2020 yang lalu.

Kerajaan pakatan ahli parlimen yang dikenali sebagai Perikatan Nasional mempunyai kelebihan pada waktu ini apabila daripada tinjauan yang dibuat, majoriti rakyat termasuk anggota perkhidmatan awam berasa selesa dan berpuas hati dengan dasar yang diperkenalkan.

Pengalaman berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan amat memeritkan apatah lagi dasar-dasar yang digubal dan kenyataan media yang dibuat seolah-olah anggota perkhidmatan awam merupakan trojan horse dan masih setia dengan rejim BN walaupun telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada Government of the day pada waktu itu.

Bagaimanapun, Kerajaan PN perlu mengekalkan dasar tidak mencampuri urusan pentadbiran bagi mengekalkan keharmonian antara ahli politik dan anggota perkhidmatan awam bagi memastikan sistem penyampaian Kerajaan berfungsi dengan berkesan.

Sebagai anak muda, saya berharap Kerajaan terus menggalas tanggung jawab membina negara ini tanpa rasa penat, kalis cemuhan cybertrooper dan pantas respon terhadap isu-isu berbangkit dari masa ke semasa.

Mengambil iktibar kejatuhan Barisan Nasional dalam PRU-14 apabila kegagalan Kerajaan memberikan penjelasan yang tuntas dan meyakinkan ke atas isu, tohmahan dan fitnah pembangkang pada waktu itu dan berasa selesa dengan jawapan-jawapan cybertrooper.

Selain meneruskan rundingan antara parti dalam MN supaya berjaya merampas kembali kerusi-kerusi yang tewas semasa PRU-14, Kerajaan PN perlu menyusun keutamaan untuk menawarkan Tawaran Baharu atau New Deal kepada rakyat antaranya memulihkan ekonomi secepat mungkin, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, mendakwa semua pemimpin yang melakukan rasuah tanpa mengira parti Kerajaan atau Pembangkang dan mengekalkan kesederhanaan Malaysia daripada ideologi ekstriminisme.

Rakyat akan sentiasa menilai prestasi Kerajaan dari masa ke semasa sebelum membuat pendirian semasa memilih Kerajaan dalam PRU-15 nanti. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah seorang penganalisis dan peguam anak muda kampung.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close