MalaysiaPilihan Editor

PAU2023: UMNO Perlu Ada Solusi, Pelan Tindakan Jika Mahu Kekal Relevan – Tok Mat

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu generasi baharu parti itu mempunyai agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman.

Katanya, jika ingin kekal relevan, UMNO perlu mewujudkan pelan tindakan baharu yang mengutamakan agenda Melayu.

“UMNO belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu. Oleh itu, kaum Bumiputera jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

“Orang Melayu kita masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar, dengan kadar kemiskinan tertinggi berbanding masyarakat yang lain,” katanya.

Mohamad mencadangkan kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk menggunakan perhimpunan kali ini, sebagai wadah memberikan saranan, bagaimana UMNO harus mengemudi masa depan parti dengan rakan-rakan politiknya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Berhentilah menagih segala jawatan, segala kontrak, dan segala gelaran. Jangan terpedaya dengan kilauan kuasa dan imbuhan, dek kerana kita adalah sebahagian dari kerajaan waktu ini,” katanya.

Mohamad berkata, solusi UMNO untuk segala pemasalahan rakyat dan orang melayu mestilah dalam satu bentuk pelan tindakan kemajuan dan pemodenan bangsa Melayu yang lengkap, menyeluruh dan kalis masa.

“Jika UMNO tidak menyediakan pelan tindakan sebegini, maka bagaimana kita akan merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu seterusnya mengajak perwakilan UMNO memulakan langkah berani dan tegas dalam merangka pelan tindakan baharu itu dengan membawa Agenda Melayu, yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu, bahawa UMNO ada rencana yang jelas untuk bangsa.

“Dengan sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa, kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu, dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, hanya dengan kewujudan pelan tindakan baharu, UMNO dapat membezakan daripada parti politik yang menunggang agama dan bangsa, dalam landskap politik Malaysia.

Mohamad turut mengusulkan UMNO menganjurkan sebuah Kongres Melayu untuk menghimpunkan pemikir terbaik bangsa untuk membantu UMNO menghasilkan pelan tindakan Melayu Maju.

“Saya usulkan juga, Kongres ini digerakkan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri. Kerana anda perlu buktikan bahawa, anda semua akan bersedia untuk mengemudi agenda bangsa bersama kami,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close