Turun Naik

Pelan Pemulihan Pasca COVID-19 Perkukuh Ekonomi

Oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed

 

GAGAL merancang ialah merancang untuk kegagalan. Frasa dikatakan diungkapkan Benjamin Franklin – antara pengasas Amerika Syarikat – ini amat masyhur. Dalam hidup, tidak kira sebagai individu, organisasi hatta kerajaan sekalipun, perancangan amat penting bagi menentukan hala tuju masa depan.

Malaysia sebagai negara juga mempunyai perancangan untuk memastikan rakyatnya hidup makmur aman harmoni. Rancangan ini mempunyai tiga fasa, iaitu jangka panjang, sederhana dan pendek.

Menurut sejarah, perancangan pembangunan di Malaysia bermula pada 1950 dengan penerbitan Draf Pembangunan Malaya. Setakat ini, sebanyak 29 dokumen perancangan pembangunan disediakan, tiga daripadanya ialah Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP).

Selebihnya, rancangan pembangunan lima tahun, Rancangan Malaysia (RM) termasuk Draf Pembangunan Malaya dan kajian separuh penggal (KSP). Rakyat amat menantikan pelancaran RM kerana mereka mahu melihat peruntukan projek pembangunan untuk kawasan mereka dan dasar yang akan diperkenalkan. Sektor swasta pasti juga menunggu untuk mengetahui perancangan negara dalam jangka panjang.

Pada 13 Mei 1969, negara dilanda tragedi hitam rusuhan kaum. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein merangka RRJP 1 yang turut merangkumi Dasar Ekonomi Baru (DEB) tahun 1971.

DEB mempunyai matlamat jelas, iaitu membasmi kemiskinan dan memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang, seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Pelan jangka panjang ini diperkukuhkan dengan rangka jangka sederhana menerusi RMKe-2 sehingga RMKe-5.

Dasar ini menjadi asas pembangunan negara dikecapi hingga kini. Kek ekonomi dibesarkan. Kesan paling besar adalah kepada Melayu dan Bumiputera. Dahulu, untuk melihat seorang anak Bumiputera masuk universiti pun susah tetapi kini sudah menjadi doktor, peguam, jurutera hingga menjadi pemimpin syarikat konglomerat.

DEB membesarkan golongan menengah dan melahirkan ramai profesional Bumiputera. DEB juga memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Aspirasi DEB diteruskan dalam RRJP 2 melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diperkenalkan pada 1990 untuk tempoh 10 tahun.

Dasar ini mengekalkan strategi menyusun semula masyarakat bagi memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum ke arah mengukuhkan perpaduan negara.

Ketika ini juga, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 bermatlamatkan Malaysia mencapai status negara maju. Ia menjadi impian semua rakyat Malaysia. Tahun ini wawasan itu seharusnya tercapai.

Seterusnya, Dasar Wawasan Negara (DWN) menggabungkan teras DEB dan DPN diperkenalkan dalam RRJP 3 bermula pada 2001-2010.

Perubahan dapat dilihat. Pembangunan semakin meningkat, namun masih jauh mencapai sasaran khususnya 30 peratus ekuiti dimiliki Bumiputera. Pada 2011, kerajaan diketuai Datuk Seri Najib Razak melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) bermula 2011 hingga 2020.

Pada 5 Oktober 2019, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dilancarkan Dr Mahathir. WKB akan menjadi tonggak RMKe-12 dan RMKe-13.

WKB mempunyai tiga objektif utama. Pertama, pembangunan untuk semua dengan menstruktur ekonomi ke arah lebih progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat menyeluruh di semua peringkat.

Kedua, menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan wilayah dan rantaian bekalan untuk membela serta meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada ketinggalan.

Ketiga, membina Malaysia sebagai negara bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

Kini RMKe-12 sedang dirangka dan berada di peringkat terakhir. Namun, COVID-19 dan keadaan ekonomi semasa menyebabkan semua perancangan perlu dinilai semula. Jadual asal membentangkan rancangan ini pada 6 Ogos di Dewan Rakyat dan 7 September (Dewan Negara) terpaksa ditangguhkan.

Pembentangan RM pada awal tahun pelaksanaan bukan perkara luar biasa. Berdasarkan pengalaman RMKe-6 hingga RMKe-11, empat RM dibentangkan pada tahun pertama. Hanya dua RM dibentangkan sebelum tahun pertama pelaksanaan pelan berkenaan.

RMKe-11 untuk tempoh 2016 hingga 2020, dibentangkan pada Mei 2015; RMKe-10 (2011-2015) Jun 2010; RMKe-9 (2006-2010) Mac 2006; RMKe-8 (2001-2005) April 2001; RMKe-7 (1996-2000) Jun 1996 dan RMKe-6 (1991-1995) Oktober 1991.

Keputusan menangguhkan pembentangan RMKe-12 dibuat disebabkan beberapa faktor termasuk ketidaktentuan ekonomi berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi serius.

Tabung Kewangan Antrabangsa (IMF) baru-baru ini menganggarkan ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1.7 peratus, itupun sekiranya COVID-19 berjaya dibendung pada separuh kedua 2020.

Sasaran ini juga bergantung keberkesanan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion.

Oleh itu, terdapat keperluan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri menyusun semula ekonomi di bawah RMKe-12.

Ini memandangkan perancangan itu dibuat sebelum penularan COVID-19 dan anggaran harga minyak dalam lingkungan AS$55 sehingga AS$60 setong.

Dalam sehari dua ini, harga setong minyak sekitar AS$35 setong dan prospek untuk masa depan tidak menentu.

Justeru, andaian digunakan sebelum ini, sebahagiannya sudah tidak relevan. Cerapan baharu perlu dilakukan supaya perancangan dibuat bertepatan situasi semasa.

Namun, krisis ini juga memberi peluang kepada kita menilai semula struktur ekonomi supaya berdaya tahan dan lebih berdaya saing seperti meningkatkan kegunaan digital dalam semua sektor khususnya ekonomi dan kerajaan.

Pada masa sama, penstrukturan semula kementerian selepas perubahan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac lalu menyebabkan beberapa keutamaan sudah berubah.

Kementerian dan beberapa kerajaan negeri baharu perlu diberi peluang menilai semula dasar dan strategi dirangka dalam RMKe-12 supaya sejajar aspirasi kerajaan hari ini.

RMKe-12 yang hampir siap sebelum ini dirangka sebahagiannya berdasarkan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

PN dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah gabungan baharu parti politik belum mempunyai manifesto tetapi tunjangnya ialah Melayu dan Islam tanpa mengabaikan kepentingan kaum lain.

Walaupun baru sangat memimpin kerajaan, tindakan Perdana Menteri untuk menangani COVID-19 dan krisis ekonomi berkesan serta amat disenangi rakyat.

Fokus kerajaan masa kini adalah memastikan pelan pemulihan pasca COVID-19 untuk jangka pendek, sederhana dan panjang benar-benar memberikan kesan menstabilkan serta mengukuhkan ekonomi.

EPU dan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) kini sedang merangka pelan jangka panjang untuk pemulihan ekonomi pasca COVID-19. RMKe-12 akan bermula selepas pelan pemulihan jangka pendek dan sederhana selesai dilaksanakan.

COVID-19 membawa perubahan radikal kepada banyak sektor termasuk pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian dan ekonomi digital. Perancangan RMKe-12 perlu mengambil kira landskap berubah.

Justeru, RMKe-12 perlu dirangka sebaik mungkin bagi memastikan semua pihak khususnya rakyat mendapat manfaat ketika seluruh dunia berhadapan perkara luar biasa akibat krisis COVID-19.

Apa dinikmati negara hari ini adalah kesan perancangan teliti. Tidak perlu tergesa-gesa. Kita masih mempunyai masa. Gagal untuk merancang bermakna kita merancang untuk kegagalan. – BERITA HARIAN ONLINE

  • Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close