Pilihan EditorTurun Naik

Ahli Parlimen Gagal Guna Bahasa Kebangsaan Dalam Dewan Wajar Didenda

Oleh Nazmi Yaakub

SATU perkataan boleh mencetuskan pertengkaran sekiranya ia tidak difahami atau mempunyai maksud berbeza kepada pihak berlainan. Maulana Jalaluddin Rumi dalam karya, Mathnawi, membawa satu kisah menarik mengenai empat pengembara berbangsa Parsi, Arab, Turki dan Greek yang terjumpa sekeping dirham.

Pengembara Parsi itu mengatakan mereka wajar membeli ‘angur’ dengan dirham berkenaan, tetapi dibantah kenalan berbangsa Arab yang mahu ‘inab,’ manakala lelaki Turki dan Greek pula masing-masing bertegas supaya digunakan untuk ‘unum’ serta ‘astaphil.’

Mujurlah, seorang budiman bijaksana tiba-tiba muncul dan menjelaskan angur, inab, unum dan astaphil membawa makna sama, iaitu buah anggur. Baharulah keempat-empat pengembara sedar apa disangkakan berbeza itu, hakikatnya adalah sama.

Maulana Rumi tentunya menyentuh soal lebih dalam daripada perbezaan bahasa tetapi tidak salah kita menjadikan kisah dalam karya agung itu sebagai iktibar kepada isu yang masih tidak diselesaikan di negara ini hingga kini, iaitu soal bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan penyatu.

Dr Muhamad Akmal menggesa penilaian menyeluruh dibuat terhadap sistem pendidikan vernakular dengan menerapkan nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi mengingatkan ia bukan mahu ‘menghapuskan’ bahasa Mandarin atau Tamil daripada terus diajar di sekolah.

Malangnya, Ramasamy menuduh gesaan itu dibuat kerana sekolah vernakular dianggap punca polarisasi kaum, malah lebih jauh mempersoalkan sama ada Dr Muhamad Akmal akan mencadangkan sekolah berkenaan dihapuskan.

Hakikatnya, masalah penguasaan bahasa kebangsaan terus berlarutan yang bukan hanya membabitkan generasi lama, malah ramai dalam kalangan generasi muda bukan Melayu tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Ia berlaku di sebalik subjek Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan kebangsaan, malah wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Isu ini bukan remeh, malah sarjana tanah air, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas meletakkan bahasa sama sebagai satu elemen yang dapat membuahkan kesatuan dan perpaduan terutama bagi manusia yang mendiami sesuatu wilayah termasuk negara.

Tiga elemen lain, iaitu agama, bangsa dan sejarah politik yang dapat dijadikan faktor penyatu kepada bangsa Eropah, tidak dapat banyak membantu dalam konteks negara ini yang didiami kaum berbeza menganut agama berlainan.

Dari segi politik pula, hubungan antara kaum berbeza secara asasnya bermula pada detik kemerdekaan dan Hari Malaysia, tetapi itupun ada pasang surut dengan kewujudan parti politik tidak berasaskan kaum belum dominan dalam arus siasah negara.

Memang ada mengesyorkan semua kaum belajar bahasa ibunda lain termasuk dijadikan mata pelajaran perlu diambil di sekolah, tetapi ia tidak praktikal kerana adalah lebih mudah semua murid diwajibkan belajar satu bahasa kebangsaan daripada dipaksa menguasai semua bahasa ditutur kaum lain.

Justeru, syor Dr Muhamad Akmal mempunyai justifikasi berdasarkan situasi kesenjangan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat yang malangnya dapat kita saksikan dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Senario ini pastinya tidak berlaku bukan sahaja dalam kalangan penggubal undang-undang di negara maju, bahkan mustahil untuk seseorang wakil rakyat di Indonesia, Thailand dan Filipina gagal berbahasa Indonesia, Thai serta Tagalog dengan baik.

Perbaiki tahap penguasaan

Malangnya, isu ini nampaknya kurang mendapat perhatian termasuk Ahli Parlimen sekurang-kurangnya untuk memperbaiki tahap penguasaan bahasa kebangsaan sebagai teladan kepada rakyat di kawasan diwakili.

Saranan bagus daripada Dr Muhamad Akmal bukan sahaja tidak disambut, bahkan mendapat kritikan pula oleh bekas pemimpin DAP yang kini menubuhkan parti baharu, Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Kementerian Pendidikan (KPM) sewajarnya memberikan perhatian kepada inti sebenar gesaan Ketua Pemuda UMNO itu dengan mengkaji sejauh mana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu sama ada di sekolah kebangsaan mahupun vernakular dalam meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa perpaduan itu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meskipun menganjurkan pelbagai program penataran berbahasa di SJK, tetapi ia belum mencukupi dengan peruntukan sedia ada, sekali gus memerlukan kerjasama termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta melalui insentif cukai misalnya.

Di Parlimen, ahli Dewan Rakyat yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik apatah lagi sudah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat perlu menjalani kursus bahasa, manakala mereka yang melanggar penggunaan bahasa rasmi semasa berbahas wajar didenda.

Biarlah selepas ini, semua rakyat boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik hingga tiada lagi insiden seperti tiga ‘kelompok’ orang berbahasa berbeza dalam satu lif, mesyuarat tiba-tiba menggunakan bahasa berlainan atau lebih teruk, kita bergaduh dan bertengkar seperti empat pengembara dalam kisah Maulana Rumi hingga melupakan soal utama, iaitu kepentingan negara dan kebajikan rakyat. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close