Pilihan EditorTurun Naik

Petronas Rai 50 Tahun, Kongsi Kekayaan Negara Sepanjang Lima Dekad

Oleh Yeoh Guan Jin

Apabila kerajaan menubuhkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada tahun 1974, satu prinsip utama telah ditetapkan iaitu syarikat minyak nasional ini adalah milik rakyat.

Seperti yang ditegaskan oleh pengerusi pertamanya, Tengku Razaleigh Hamzah, Petronas sentiasa berperanan sebagai penjaga kekayaan minyak dan gas yang dimiliki oleh rakyat.

“Oleh sebab itu, ia tidak boleh dimiliki oleh mana-mana kerajaan, sama ada persekutuan atau negeri. Ia adalah syarikat milik rakyat,” katanya kepada FMT.

Prinsip ini menjadi asas kepada tadbir urus korporat yang tidak boleh dipersoalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan Petronas tidak akan dapat menyumbang berbilion ringgit kepada negara tanpa kualiti-kualiti tersebut.

Asas yang kukuh

Tengku Razaleigh yang diberi tanggungjawab untuk menubuhkan syarikat minyak nasional oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, berkata keutamaannya adalah memilih individu yang berpengetahuan luas untuk menguruskan syarikat tersebut.

“Kita sering mendengar tentang syarikat minyak nasional yang gagal disebabkan ketidakcekapan, kejahilan terhadap kuasa pasaran, atau kerana ketamakan dan rasuah,” katanya kepada FMT sempena ulang tahun ke-50 Petronas pada 17 Ogos.

Dalam kalangan ahli akademik, frasa ‘sumpahan sumber’ digunakan untuk menggambarkan salah guna dan penyelewengan keuntungan dari minyak dan gas di negara seperti Nigeria, Venezuela, Congo, dan Angola.

Sebagai contoh, Nigeria adalah pengeluar minyak keenam terbesar dunia tetapi kebanyakan wang dari sumber itu telah dibazirkan oleh ahli politik yang korup dan tadbir urus yang lemah.

Menyedari kebimbangan ini, Tengku Razaleigh berkata beliau berbincang dengan Tun Abdul Razak, yang juga memberi tanggungjawab kepadanya untuk merangka Akta Kemajuan Petroleum.

“Saya memerlukan individu yang berkualiti untuk memulakannya. Permulaan adalah sangat penting. Jika anda mula dengan amalan buruk, anda akan berakhir dengan amalan buruk,” tambahnya.

Menjaga warisan Malaysia

Pada tahun 1960-an, Abdul Rahman Ya’kub, yang ketika itu merupakan ketua menteri Sarawak, mencadangkan idea untuk mengambil alih kawalan terhadap sumber minyak dan gas Malaysia melalui sebuah badan berkanun.

Rahman kemudian mengubah cadangannya kepada penubuhan sebuah syarikat minyak nasional dan turut mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai pengerusi pertama.

Cadangan ini mendapat perhatian pada tahun 1970-an apabila krisis minyak global berlaku.

Perang yang meletus di Asia Barat dan sekatan minyak yang dikenakan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menyebabkan harga minyak mentah melonjak dari USD 1.50 setong pada 1972 kepada USD 12 pada 1974.

Ini menjadikan cadangan Rahman dianggap perlu dilaksanakan segera.

Bagi kerajaan persekutuan, pulangan daripada perniagaan minyak juga membolehkan agenda pembangunan negara diteruskan.

Dengan menguasai sumber ini bagi pihak rakyat, kerajaan dapat memastikan kekayaan tersebut diagihkan dengan adil ke seluruh negara, memastikan tiada negeri yang terpinggir dalam mana-mana program pembangunan.

Ini menjadi lebih kritikal memandangkan tidak semua negeri kaya dengan sumber asli.

Sementara negeri seperti Pulau Pinang, yang tidak mempunyai sumber asli, boleh bergantung kepada kelebihan awal dalam perdagangan.

Manakala negeri lain seperti Perlis bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat.

Sebagai wilayah pengeluar minyak pertama Malaysia, Sarawak berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu menanggung kos pembangunan negara.

Ini jauh berbeza daripada zaman awal selepas minyak pertama kali ditemui di Miri pada tahun 1910.

Proses penerokaan dan pengeluaran minyak pada waktu itu dikendalikan oleh syarikat Royal Dutch Shell, yang kini dikenali sebagai Shell plc.

Walaupun sumber tersebut adalah milik negeri, kerajaan Sarawak tidak mempunyai kawalan atau pengaruh terhadap cara sumber tersebut dieksploitasi.

Shell diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menguruskan sumber tersebut dan hanya perlu membayar cukai yang ditetapkan kepada kerajaan Sarawak.

 

Mengekalkan kekayaan

Hingga hari ini, Petronas terus menghasilkan pendapatan besar untuk Malaysia yang mencatatkan pendapatan melebihi RM343.6 bilion untuk tahun kewangan 2023, mengatasi syarikat-syarikat terbesar di Bursa Malaysia.

Untuk tahun yang sama, Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM80.7 bilion dan menyumbang RM40 bilion dalam bentuk dividen kepada kerajaan.

Mengulas pencapaian ini, Tengku Razaleigh mengajukan persoalan, “Bagaimana kita menguruskan kejayaan ini?”

Jawapannya, terletak pada kualiti kepimpinan dan kakitangan Petronas.

Beliau menekankan keperluan individu yang berpengetahuan mendalam, cukup berkelayakan, dan kompeten untuk mengendalikan syarikat minyak.

“Petronas bukan sekadar syarikat minyak biasa. Ia adalah syarikat minyak negara,” jelasnya,

Mengubah negara

Sejak lima dekad lalu, Petronas telah memainkan peranan penting dalam pembentukan industri baru dalam rantaian bekalannya.

Penyedia perkhidmatan baru telah muncul untuk memenuhi keperluan khusus dalam penerokaan dan penapisan minyak, logistik, dan peruncitan.

Tengku Razaleigh berkata kemunculan sektor-sektor ini telah menghasilkan ribuan pekerjaan baik secara langsung mahupun tidak langsung berkaitan minyak dan gas sepanjang tahun-tahun tersebut.

“Ribuan orang kini terlibat dalam industri yang berkaitan dengan minyak dan gas,”tambahnya.

Beliau juga menyatakan impak luas sektor minyak dan gas turut menyerlahkan peranan Petronas dalam menyatukan tiga wilayah di Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

Potensi kekayaan minyak sebagai penyumbang kepada perpaduan dan pembangunan negara tidak boleh dinafikan, tambahnya.

Pengembangan global

Petronas juga telah meluaskan perniagaan berkaitan minyaknya ke seluruh dunia, dan jejaknya kini merangkumi lebih daripada 100 negara.Aktiviti penerokaannya telah menghasilkan lapangan minyak dari Indonesia hingga ke Suriname.

Syarikat ini mempunyai blok penerokaan laut dalam di Teluk Mexico, aktiviti pengeluaran gas asli di Kanada, dan blok penerokaan di Brazil.

Di UK, Petronas terlibat dalam pemasaran dan perdagangan komoditi melalui anak syarikatnya, Petco Trading (UK), dan merupakan pembekal utama LNG kepada China dan Jepun.

Rangkaian perniagaan Petronas yang luas dan pertumbuhan berterusan, bersama dengan pematuhan ketat terhadap keperluan tadbir urus korporat, telah meletakkannya di kedudukan ke-167 dalam senarai Global Fortune 500, menjadikannya satu-satunya syarikat Malaysia yang berjaya tersenarai.

Melihat ke hadapan

Petronas kini menyesuaikan diri dengan penekanan terhadap kelestarian.

Syarikat ini mensasarkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau kepada 49.5 juta tan setara karbon dioksida tahun ini dan akan meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 3,000MW, termasuk pelaburan dalam hidrogen.

Petronas juga memberi tumpuan kepada ketelusan dan kebertanggungjawapan, sambil memastikan pengagihan saksama sumber minyak dan gas.

Dalam 50 tahun akan datang, syarikat ini akan terus bergantung pada pelaburan strategik untuk pertumbuhan dan kestabilan, sambil mengekalkan pengurusan dan tadbir urus yang baik.

Seperti yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim, Petronas memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia dan mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan mampan. – BH ONLINE/FMT

  • Penulis ialah wartawan Free Malaysia Today. 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close