Two Cents

Pemerkasaan Wanita Perkukuh Masyarakat, Ekonomi

Oleh Kamala Shirin Lakhdhir

 

Ke mana saya pergi hari ini, rakyat Malaysia akan bertanya soalan – “Apa pendapat saya mengenai seorang lagi Kamala (Senator Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris) yang dipilih sebagai calon naib presiden?”

Sebagai Duta Besar, saya tidak berada dalam kedudukan untuk membincangkan Pilihan Raya Presiden AS, tetapi melihat wanita maju dalam semua sektor masyarakat patut diraikan.

Hari ini di AS, kami meraikan Hari Kesamarataan Wanita untuk memperingati ulang tahun ke-100 kelulusan Pindaan Ke-19, yang akhirnya meletakkan hak wanita untuk mengundi dalam Perlembagaan AS.

Ia tidak berlaku sekelip mata dan perjuangan melaksanakan hak mengundi berterusan lama selepas itu.

Susan B Anthony, Harriet Tubman, Sojourner Truth dan ramai lagi secara asasnya mengubah masyarakat AS melalui syarahan, pendidikan, petisyen, perarakan serta protes dalam perjuangan untuk suffrage atau hak untuk mengundi selama bertahun-tahun lamanya.

Kebanyakan nama pejuang ini, termasuk nama nenek moyang saya sendiri, iaitu Martha Brewer, semakin pudar dalam sejarah, tetapi pencapaian mereka diraikan setiap kali wanita memberikan undi mereka.

Pejuang hak untuk mengundi yang berani ini dan kebanyakan lelaki yang menyokong mereka, menginginkan masyarakat yang mengiktiraf wanita sebagai warganegara dengan hak sama untuk menyumbang kepada pembangunan serta kesejahteraan semua orang.

Mereka memahami sebuah negara yang menafikan hak kesamarataan wanita tidak dapat mewakili kepentingan semua warganya.

Masyarakat yang membabitkan wanita dalam kehidupan sivik dan ekonomi lebih sejahtera dan aman. Idea ini sangat relevan hari ini ketika kita meminta penyertaan semua orang untuk membina semula ekonomi yang hancur disebabkan pandemik COVID-19.

Malaysia juga berkongsi idea ini. Negara ini mempunyai wanita pencipta sejarah tersendiri yang memperjuangkan masyarakat lebih adil untuk kemerdekaan, hak wanita dan gaji yang sama.

Wanita moden Malaysia juga melangkah ke arah kesamarataan dalam perniagaan, masyarakat sivil dan pendidikan.

Warga Kedutaan AS di Malaysia menumpu kepada usaha meningkatkan kesedaran dan memperluaskan peluang bagi wanita Malaysia menyumbang kepada kejayaan negara mereka.

Kerjasama ini juga akan memberi pengajaran kepada rakyat AS untuk digunakan di tempat mereka. Di bawah kempen disebut ‘pemerkasaan wanita’ kedutaan dan rakan kongsi kami menganjurkan ceramah, program bimbingan serta pengupayaan dan kegiatan budaya untuk menyokong wanita Malaysia, memberikan mereka akses kepada pendidikan serta kemahiran lanjutan dan alat untuk mencapai kesamarataan ekonomi.

Kami bekerja merentasi Kerajaan Persekutuan dan negeri, bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi rakan kongsi. Kami teruja dapat bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berkongsi semangat dan visi kami.

Pengarah Eksekutif dan Pengembangan Kemampuan di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Farah Othman, berkata wanita adalah wadah tersimpan bakat terbesar yang belum dimanfaatkan di dunia.

Beliau antara ahli panel bersama Gigi Wang, seorang felo industri di Pusat Keusahawanan Sutardja UC Berkeley, dalam satu forum maya anjuran kedutaan bulan lalu bertajuk ‘Memajukan Pemerkasaan Ekonomi Wanita untuk Malaysia yang Lebih Baik’.

Lebih banyak aktiviti ceramah membabitkan usahawan dan pakar syarikat permulaan dirancang beberapa bulan akan datang. Kami juga menyokong pemimpin wanita muda di Malaysia dan rantau ini melalui Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), yang menganjurkan Akademi Kepimpinan Wanita (WLA) tahunan secara maya bulan ini.

Akademi Usahawan Wanita (AWE) kami, sebuah program Jabatan Negara yang dibangunkan di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Global (W-GDP) yang dipimpin Rumah Putih untuk menyokong perkembangan usahawan wanita di seluruh dunia, dilancarkan bulan depan.

Dengan bekerjasama bersama Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA), AWE akan melatih dan melengkapkan usahawan wanita yang bercita-cita tinggi untuk mengembangkan perniagaan mereka, mengumpulkan modal serta membina jaringan.

Kami bernasib baik dapat bekerjasama dengan ramai wanita Malaysia yang luar biasa, membangun dan memberi inspirasi kepada generasi rakyat Malaysia inovatif untuk menyelesaikan masalah serta komited mewujudkan masyarakat lebih adil yang mencerminkan kepelbagaian rakyat di negara ini.

Antara mereka ialah Anja Juliah Abu Bakar, yang membimbing puluhan wanita Malaysia menangani cabaran sosial dan masyarakat yang menjadi halangan untuk berjaya; Junaida Aziz, yang membantu ibu tunggal di Kelantan memanfaatkan kemahiran mereka bagi menyara keluarga serta melatih orang lain dan Nina Othman, yang perusahaan sosialnya Grow the Goose mengajar anak berhubung celik kewangan dan memberi peluang kepada penanam kecil koko di Sabah untuk dilengkapi kemahiran pertanian yang mapan.

Wanita luar biasa ini saling membantu. Kami banyak belajar daripada mereka. Seperti pejuang hak mengundi untuk wanita, mereka tahu cabaran tidak dapat diatasi bersendirian.

Dalam meraikan Hari Kesamarataan Wanita yang juga mengiktiraf perjuangan berterusan wanita untuk kesamarataan penuh, marilah kita, AS dan Malaysia – mengingati bahawa kita membina komuniti makmur melalui penyertaan sama daripada semua orang.

Moyang saya, A H Brewer, mengetahui perkara ini. Itu sebabnya dia membawa tiga anak perempuannya ke New York City pada 1915 untuk berarak bagi memperjuangkan hak mengundi untuk wanita.

Saya bangga mempunyai selempang Undi Untuk Wanita kepunyaan moyang saya bagi mengingati sejauh mana kita sampai dan sejauh mana lagi kita masih perlu mara ke depan. Jika wanita diperkasakan, kita semua diperkasakan. – BERITA HARIAN

 

  • Penulis adalah Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close