MalaysiaPilihan EditorTwo Cents

Integriti SPRM Terus Diperkasa – Datuk Seri Azam Baki

Oleh Shanika Abdullatib

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut ulang tahun ke-53 penubuhan hari ini dan cabaran paling berat yang dihadapi sekarang ini lebih kepada menangkis  taktik licik yang dilakukan oleh pelaku rasuah jenayah perdagangan.

Datuk Seri Azam Baki, yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac lepas, berkata penggunaan teknologi digital oleh pelaku menyukarkan SPRM untuk mengesan jejak pergerakan wang mereka.

“Modus operandi mereka semakin licik dan mereka dapat mengetahui undang-undang atau sistem yang ada,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di sini, baru-baru ini.

Namun, di bawah teraju Azam, 57, suruhanjaya itu bertekad untuk merealisasikan visinya untuk mewujudkan sifar rasuah dengan menerapkan pelbagai strategi termasuk penggunaan sumber manusia secara berkesan dalam mendepani cabaran penggal 2021 hingga 2025.

 

RAIH KEYAKINAN AWAM

 


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki (kanan) ketika sesi dialog bersama media pada program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

Tidak hanya berdepan dengan modus operandi yang semakin licik, SPRM turut berdepan cabaran persepsi masyarakat yang mahukan badan itu menjadi satu agensi bebas atau kelihatan bebas yang mampu melaksanakan tugas dengan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Mengakui bukan mudah, Azam bagaimanapun menjelaskan dua prinsip utama iaitu persetujuan Ketua Pesuruhjaya dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mana memerlukan pindaan Perlembagaan  adalah antara inisiatif bagi meraih kepercayaan itu.

“Yang kedua adalah persetujuan kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR). Kedua-dua perkara ini memerlukan sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” jelasnya.

Selain itu, penguatkuasaan yang lebih profesional turut dilihat sebagai antara strategi berkesan bagi meraih kepercayaan dan sokongan rakyat memandangkan SPRM kini memfokus kepada isu-isu ketirisan dana, isu kepentingan awam dan keselamatan negara.

Tidak ketinggalan, strategi pencegahan turut diperkukuhkan dengan berganding bahu bersama Pusat Governans, Intergriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bagi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Untuk memantapkan lagi agensi yang awalnya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah (BPR), SPRM turut meningkatkan kemahiran dalam kalangan pegawai dengan melihat semula transformasi program yang dijalankan dari 2011 hingga 2013.

“Bagi fasa kedua (2013-sekarang), kita mahu pegawai SPRM mahir dalam pelbagai bidang, bukan dalam penyiasatan biasa sahaja tetapi memahami dalam bidang penyiasatan rasuah yang menjurus kepada rasuah jenayah perdagangan,” katanya.

Justeru, keperluan meningkatkan kelulusan akademik pegawai juga menjadi sasaran utama termasuklah menggalakkan pegawai mendapatkan banyak lagi pensijilan dari dalam dan luar negara termasuk menjalinkan kerjasama dengan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom.

 

TANGANI KETIRISAN PEROLEHAN

 


Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

Mengenai hala tuju, Azam menjelaskan agensi itu menetapkan objektif yang lebih jitu dan ia akan diteruskan sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.

Untuk tempoh itu, fokus akan diberikan kepada membantu menjana ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dana kerajaan terutama saat negara sedang dilanda pandemik.

Ini penting memandangkan rasuah yang berleluasa boleh mengakibatkan ekonomi negara hancur yang mana kos perolehan meningkat dan menjejaskan sistem penyampaian.

“Ketika negara menghadapi COVID-19 yang menjejaskan ekonomi, SPRM berperanan dalam membantu negara untuk mencapai pendapatan tinggi serta meminimumkan ketirisan.

“Fokus kami adalah agar negara tidak hilang dana yang banyak akibat berlakunya ketirisan. Namun ini tidak membawa maksud yang kes lain tidak diutamakan. Fokus buat masa ini adalah berkaitan dengan rasuah jenayah ekonomi,” katanya

Dalam masa yang sama, SPRM mahukan supaya ahli pentadbiran, penjawat awam dan juga masyarakat peniaga sedar akan perkara ini dan bersama-sama dengan agensi itu dalam mencegah rasuah.

Ini ujarnya selari dengan pelaksanaan peruntukkan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 diberikan tumpuan untuk mewujudkan suasana perniagaan yang bersih dan bebas rasuah.

 

STATUS RASUAH DI MALAYSIA

Menurut Azam, kebanyakan kes rasuah dari tahun 2015 sehingga kini banyak melibatkan isu ketirisan perolehan kerajaan malah terdapat kes pegawai kerajaan menyeleweng dalam hal-hal perolehan kerajaan sehingga melibatkan kehilangan jutaan ringgit.

“Justeru, banyak penambahbaikan dilakukan. Jika dahulu kita kurang kepakaran tapi sekarang, SPRM sudah ada kemampuan untuk membuat analisis dan penilaian sesuatu kes dengan lebih tepat,” jelasnya.

Dalam mencapai visi sifar rasuah Azam mengakui bahawa ia bukan mudah dan memerlukan kerjasama semua pihak lain terutama agensi barisan hadapan.

Sesebuah negara itu katanya, boleh membawa imej ‘bersih’ sekiranya barisan hadapan yang terdiri daripada anggota penguatkuasaan bebas daripada jenayah rasuah malah visi itu mesti dicapai walaupun ia bukan perkara mudah kerana setakat ini tiada dalam dunia ini yang negaranya sifar rasuah.

Bagaimanapun, SPRM perlu merangka strategi supaya Malaysia dipandang sebagai sebuah negara yang betul-betul kurang kes rasuahnya.

“Kalau nak cakap mengenai sifar rasuah, kita perlu melihat kepada golongan barisan hadapan… apabila rasuah ini bersih dalam kalangan barisan hadapan, masyarakat akan nampak negara itu bersih.

“Namun jika mereka tidak diperbetulkan ia akan menjadi lebih teruk jadi strategi nak capai sifar rasuah, kena betulkan barisan hadapan kita terutama yang berurusan dengan orang luar, ” katanya.

 

KUASA PEMBERI MAKLUMAT

Mengenai aktiviti pendidikan yang melibatkan masyarakat umum, program turun ke padang menjadi antara langkah proaktif yang dilaksanakan SPRM di setiap negeri dalam memastikan mesej pencegahan rasuah diterima dan difahami.

 


PlayerUnknown’s Battlegrounds (“Medan Perang Pemain Awanama”, disingkatkan kepada PUBG [pab-ji]) ialah sebuah permainan battle royale multipemain atas talian yang dibangunkan dan diterbitkan oleh PUBG Corporation.

 

Malahan, SPRM turut menggunakan medium e-sukan sebagai platform seperti program SPRM PUBG (Player Unknown Battle Ground) mobile i-Challenge, selari dengan perkembangan teknologi dan gaya golongan muda dalam menyebar luas mesej antirasuah.

“Sesuatu yang membanggakan apabila kes yang kita dapat hasilkan dalam mengekang ketirisan hasil kerajaan sejak tiga tahun lepas adalah kebanyakannya daripada pemberi maklumat yang mana kesedaran itu timbul melalui program pendidikan yang dijalankan.

“Sejak 2016 hingga Ogos lepas, 231 individu diberi pelindungan dengan 127 adalah dari pekerja dalam sektor kerajaan manakala masing-masing 30 adalah orang awam dan sektor swasta,” katanya.

Pun begitu, pihaknya memahami masih ramai yang tidak mahu ke depan memberi maklumat atau membuat aduan secara terus atau bersemuka walaupun undang-undang yang digunapakai adalah berkesan.

“Kita beri jaminan akan memberi perlindungan seperti yang termaktub di bawah Akta Pelindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). Di bawah akta ini, kami akan jaga pemberi maklumat daripada dikenakan tindakan,” katanya. – BERNAMA

  • Penulis ialah wartawan BERNAMA dan disunting oleh Rashidah Abd Ghani

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close