GovernansPilihan Editor

Kementerian Kewangan Dedah 101 Projek Runding Terus

Kementerian Kewangan hari ini mendedahkan senarai 101 projek yang bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, dalam kenyataan itu memaklumkan mendahului senarai projek rundingan terus adalah membabitkan Kementerian Pengangkutan dengan nilai perolehan sebanyak RM4.47 bilion membabitkan empat projek.

Ia diikuti enam projek Kementerian Pertahanan (RM900.86 juta); lapan projek Kementerian Dalam Negeri (RM517.68 juta); 12 projek Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (RM380.12 juta) serta dua projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM170.79 juta).

Yang lain ialah tujuh projek Kementerian Pendidikan (RM87.49 juta); empat projek Kementerian Kesihatan (RM10.87 juta); sembilan projek Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM10.36 juta); tujuh projek Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (RM8.46 juta); empat projek Kementerian Kewangan (RM9.03 juta) serta lima projek Jabatan Perdana Menteri (RM8.18 juta).

Dua projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM7.36 juta); satu projek Kementerian Belia dan Sukan (RM6.45 juta); lapan projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM6.15 juta); 13 projek Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM5.67 juta); satu projek Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (RM1.18 juta); empat projek Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM1.17 juta); dua projek Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (RM570,000); satu projek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM160,000) serta satu projek Kementerian Wilayah Persekutuan (RM960,000)

Tengku Zafrul berkata, rundingan terus dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat yang ditetapkan.

Syarat itu, katanya, adalah perolehan bekalan dan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang mana jika ia tidak dilaksanakan segera, boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara.

“Selain itu, keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan yang baru diperoleh.

“Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, syarat rundingan terus juga berkaitan keselamatan dan strategik yang membabitkan perolehan barangan atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara.

“Atau kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan,” katanya.

Beliau berkata proses itu membabitkan permohonan daripada kementerian lain kepada Kementerian Kewangan. – BERITA HARIAN

 

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close