Pilihan EditorTwo Cents

NIRAF-Solidariti Warga Muda

Oleh Nur Intan Rafeena Ahmad Fauzi

 

Solidariti atau perpaduan dapat ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air.

Di samping itu juga, menurut PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu), perpaduan ditakrifkan sebagai penggabungan, pelaburan persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan lain-lain.

Di dalam erti kata yang lain, perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja di kalangan dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas.

Perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.

Ternyata, setelah diteliti, satu perkataan mudah yang sering diguna pakai ini ternyat membawa maksud yang berat di sebaliknya.

Namun, apabila membicarakan tentang solidariti warga muda, perkara yang dapat dilihat ialah warga muda sering kali menunjukkan perpaduan atau solidariti sesama belia melalui penggunaan media sosial.

Contoh mudahnya ialah tanda pagar atau hashtag yang mudah, pendek dan catchy digunakan oleh belia untuk membawa tumpuan terhadap topik tertentu.

Antara tanda pagar yang tular bulan ini termasuklah #freepalestine, #PKP3.0, #astrazeneca,  #kerajaangagal, #rakyatgagal, #BTSMeal dan pelbagai lagi.

Daripada contoh yang penulis berikan ini sahaja, dapat dilihat bahawa penggunaan tanda pagar ini meliputi pelbagai topik daripada isu dunia, isu dalam negara, isu politik semasa sehinggalah ke isu dunia hiburan.

Namun, sejauh mana keberkesanan tanda pagar ini menggambarkan solidariti dalam kalangan warga muda?

Dari sudut pandangan penulis, tanda pagar ini hanya mempunyai kesan sementara.

Hal ini dibuktikan apabila kebanyakan daripada tanda pagar ini hanya tular dan diguna pakai dalam tempoh antara 3 hari sehingga maksimum 2 minggu, atau sehingga sesuatu isi dianggap telah mendapat perhatian sewajarnya.

Perkara ini sebenarnya merupakan satu kekurangan kerana sepatutnya, dengan kesedaran taktikal yang dapat ditanam sekelip mata melalui hanya tanda pagar ini, sesuatu isu itu dapat diambil dengan lebih serius oleh pihak yang sepatutnya.

Hal ini kerana solidariti belia melalui tanda pagar ini secara tidak langsung sebenarnya merupakan suara orang muda yang selayaknya didengari dan tidak hanya dipandang sebelah mata.

Selain itu juga, terdapat juga warga muda yang menunjukkan solidariti dengan cara menunjukkan sokongan secara terang-terangan.

Contohnya ketika Israel melakukan pencerobohan dan keganasan di Sheikh Jarrah dan wilayah-wilayah Palestin beberapa minggu lepas.

Ramai warga muda telah terlibat untuk membuat pelbagai poster membidas tindakan tidak berperikemanusiaan negara haram tersebut, menaikkan bendera Palestin pada kereta masing-masing, mewujudkan tabung dana melalui NGO untuk Palestin, melakukan demonstrasi secara aman dan melakukan solat hajat sebagai tanda sokongan terhadap Palestin.

Terdapat juga belia yang bertindak menterjemah artikel berkaitan Palestin dalam pelbagai bahasa lain supaya mudah difahami rakyat-rakyat negara lain.

Hasilnya, dalam isu ini, solidariti warga muda ini telah berjaya membuka serba sedikit mata warga dunia mengenai isu Palestin yang bukan sekadar berkenaan agama, tetapi turut melibatkan kemanusiaan dan moral sesama insan.

Selain itu, solidariti warga belia ini yang sebenarnya turut mewakili rakyat Malaysia telah menguatkan lagi hubungan diplomatik sesama negara-negara Islam.

Tambahan lagi apabila rakyat Palestin sendiri mengakui berasa terharu dan bangga dengan usaha-usaha yang dilakukan belia negara ini.

Meskipun kadang-kala usaha-usaha warga muda ini dipersoalkan keberkesanannya, namun solidariti yang golongan ini tunjukkan ini sebenarnya merupakan asas yang kukuh untuk menunjukkan bahawa belia negara ini cakna dalam segala isu yang berlaku dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Berita baiknya ialah golongan belia ini merupakan golongan sama yang akan memegang tampuk kepimpinan negara kelak.

Ternyata, solidariti dalam kalangan warga muda ini seharusnya diberi penekanan dan perhatian sewajarnya.

Meskipun negara Malaysia ini kecil jika dibandingkan dengan negara-negara lain, namun penulis percaya bahawa solidariti warga belia negara ini membawa kuasa dan pengaruh tersendiri yang tiada tandingnya jika disalurkan dengan tujuan dan semangat yang betul. Terus maju belia! – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah seorang realis dalam dunia yang idealis.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close