Governans

Pendapatan Boleh Agih KWSP Melonjak Kepada RM19.2 Bilion

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM19.2 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, melonjak 33.1 peratus berbanding RM14.42 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Sebanyak RM16.56 bilion daripada RM19.2 bilion pendapatan boleh agih itu dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM2.64 bilion untuk Simpanan Shariah.

Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata prestasi pasaran global pada suku pertama 2024 disokong pertumbuhan global yang berdaya tahan, terutamanya bagi ekonomi maju.

Di peringkat antarabangsa, katanya, ekonomi Amerika Syarikat (AS) terus berkembang, seterusnya menurunkan jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada tahun ini, selain indeks saham utama yang mempamerkan peningkatan kukuh pada suku pertama, didorong oleh lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.

Pada suku yang dikaji, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM13.15 bilion, berbanding RM8.69 bilion yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

Kelas aset itu kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 68 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih.

Peningkatan pendapatan itu disumbangkan oleh strategi proaktif pengurus dana untuk mengambil peluang kenaikan pasaran dalam merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu yang dijangkakan pada suku akan datang.

Menurut KWSP, instrumen pendapatan tetap terus menjadi tunjang kepada pengurus dana persaraan itu, memberikan aliran pendapatan yang stabil dan mengurangkan impak daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek.

“Kelas aset ini, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), menyumbang 27 peratus atau RM5.14 bilion kepada pendapatan boleh agih bagi suku pertama 2024.

“Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM220 juta pada suku dikaji, sementara instrumen pasaran wang menjana RM690 juta, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini,” katanya.

Keseluruhan aset pelaburan KWSP setakat Mac 2024 meningkat kepada RM1.19 trilion, dengan pelaburan luar negara menyumbang 38 peratus daripada keseluruhan jumlah aset.

Pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus melebihi jangkauan dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dengan menjana pendapatan sebanyak RM9.88 bilion, mewakili 51 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

Pelaburan domestik KWSP pula menyumbang 62 peratus daripada jumlah aset yang sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap, seterusnya memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui faedah dan keuntungan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close