GovernansPilihan Editor

KPPK Sasar Tembusi Pasaran Greece, Balkan

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan pertambahan 300,000 tan metrik eksport minyak sawit diproses bagi menembusi pasaran Greece dan negara di rantau Balkan menerusi Turki.

Timbalan Menteri, Willie Mongin, berkata ini sekali gus menjadikan Turki sebagai hab eksport di pasaran berkenaan. Ini susulan usaha KPPK melakukan pelbagai promosi menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk meningkatkan kebolehpasaran produk sawit ke luar negara.

Katanya, aktiviti promosi mendapat kerjasama Pejabat Kedutaan Malaysia di Eropah, khususnya membabitkan hubungan antara kerajaan dan kerajaan.

“Ia turut membabitkan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi aspek pemasaran,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) berhubung usaha KPPK meningkatkan harga dan pasaran eksport minyak sawit serta jangkaan eksport sawit Malaysia ke Turki.

Dalam pada itu, Willie mengakui kerajaan berdepan cabaran utama bagi menstabilkan harga komoditi sawit dan getah di pasaran, bergantung kepada pelbagai faktor.

“Ia termasuk senario pasaran harga di peringkat global yang turut dipengaruhi pertumbuhan ekonomi, permintaan, penawaran dan stok.

“Penularan pandemik COVID-19 juga sedikit sebanyak menjejaskan permintaan bagi keluaran sektor agrikomoditi yang turut menyebabkan harga jatuh,” katanya.

Mengenai langkah penstabilan harga sawit dan getah, beliau berkata, KPPK memberi pengecualian duti eksport minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan diproses, hingga Disember ini.

Selain itu, katanya, KPPK meningkatkan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum menerusi Program Biodiesel B20 bagi membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah domestik.

“Pelaksanaan program ini dijangka membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik kepada 1.06 juta tan, berbanding 534,000 tan B10 setahun.

“Peningkatan ini akan merancakkan permintaan, seterusnya memberi impak positif terhadap industri sawit negara, selain meningkatkan kerjasama dengan negara pengeluar utama getah serta meninjau pasaran baharu berpotensi,” katanya.  – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close