Pandangan oleh Imran Nurginias Ibrahim
Program rasionalisasi subsidi Malaysia menjadi langkah berani kerajaan untuk meletakkan ekonomi negara dalam landasan yang kukuh, kata penganalisis.
Langkah itu akan menjadi keputusan yang berpandangan ke hadapan, kondusif untuk pertumbuhan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat. Kerajaan yang bertanggungjawab harus berani dalam membuat keputusan yang akan meletakkan ekonomi negara berada pada kedudukan yang kukuh pada masa hadapan.
Di Malaysia dan beberapa ekonomi membangun yang lain, subsidi dan kawalan harga telah menjadi ciri penting dalam alat dasar.
Akibatnya, banyak ekonomi membangun telah memulakan rasionalisasi subsidi dan pembaharuan harga. Program rasionalisasi subsidi adalah sebahagian daripada agenda reformasi yang lebih luas untuk menghapuskan herotan dalam ekonomi, meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran, dan memastikan penggunaan sumber yang terhad dengan lebih optimum.
Pembaharuan dalam subsidi diperlukan memandangkan dasar tidak dapat tahan dengan ujian berikutan pertumbuhan penduduk dan tidak banyak yang boleh diraikan.
Pada masa kemerdekaan 1957, populasi di negara ini adalah 6.3 juta dan apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971, ia telah berkembang kepada 11 juta. Jumlah populasi kini ialah sekitar 34 juta dan dianggarkan meningkat sebanyak 10 juta lagi menjelang 2040.
Melihat semata-mata dari sudut demografi, subsidi seperti yang disediakan pada masa ini tidak mampan dan mengikut data sejarah, bil subsidi pada 1990 ialah RM500 juta, sementara pada 2010, jumlah itu meningkat berlipat kali ganda kepada RM23.1 bilion.
Pada 2014, subsidi bahan api direkodkan sebanyak RM18.5 bilion dengan purata harga minyak mentah pada paras AS$99 setong.
Pada akhir tahun itu, kerajaan melaksanakan mekanisme penetapan harga bahan api terapung terurus bagi petrol dan diesel, menghasilkan banyak pengurangan subsidi bahan api kepada hanya RM3.2 bilion pada 2015.
Namun, pada Julai 2018, kerajaan menarik balik mekanisme itu dan memperkenalkan semula subsidi bahan api untuk RON95 dan diesel yang membawa kepada subsidi yang lebih tinggi sebanyak RM7.5 bilion menjelang akhir tahun. – BH ONLINE
- Pandangan oleh Ketua Ekonomi BIMB Securities Research.