Dimensi BisnesPilihan Editor

Tahap Permodalan Bank Terus Kukuh

Kesemua bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk berhadapan dengan kejutan yang mungkin muncul dan meneruskan sokongan aliran kredit kepada ekonomi, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Sehingga April 2021, lebihan penampan modal institusi perbankan berjumlah RM124.2 bilion.

Kualiti aset sistem perbankan juga kekal mantap, kata BNM dalam Sorotan Bulanan – Laporan April 2021 yang dikeluarkan hari ini.

“Secara keseluruhan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih mampan pada 1.6 peratus dan 1.0 peratus apabila jejas nilai menjadi sederhana sedikit pada bulan berkenaan.

Bagaimanapun, institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan terhadap kerugian kredit, yang kini berada pada 1.7 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan,” kata BNM lagi.

Daripada segi pembiayaan bersih, bank itu memberitahu ia berkembang sebanyak 4.9 peratus pada April, pengembangan ini mencerminkan peningkatan pertumbuhan bon korporat terkumpul iaitu sebanyak 7.7 peratus semasa bulan berkenaan dan 5.0 peratus pada Mac, manakala pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal mampan iaitu April serta Mac, masing-masing 3.9 peratus.

Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul menokok kepada 6.2 peratus apabila pengeluaran pinjaman melonjak pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan pembayaran balik pinjaman bagi kebanyakan tujuan.

Pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi perniagaan menjadi sederhana kepada 0.4 peratus mencerminkan pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah untuk tujuan modal kerja.

Bank pusat itu menjelaskan, keadaan pasaran kewangan domestik bertambah baik menjelang April disebabkan pengaruh faktor luaran dan domestik.

Kadar hasil bon domestik menjadi sederhana dalam keadaan sentimen pelabur yang positif didorong oleh kedudukan Malaysia yang terus kekal dalam FTSE Russell World Government Bond Index (WGBI) dan penurunan kadar hasil bon kerajaan jangka lebih panjang dalam kebanyakan ekonomi maju selepas peningkatan mendadak pada awal tahun ini.

Khususnya, kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 12.2 mata asas pada bulan ini.

Ringgit menambah nilai sebanyak 1.3 peratus berbanding dengan dolar AS, disokong oleh aliran masuk portfolio ke pasaran bon domestik dan penurunan nilai dolar AS secara keseluruhan.

FBM KLCI naik 1.8 peratus, disokong oleh sektor penjagaan kesihatan berikutan kebimbangan berhubung dengan penularan semula kes COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri.

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.7 peratus pada April berbanding sebanyak 1.7 peratus semasa Mac susulan kenaikan harga minyak tempatan.

Inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu menjelang suku kedua dan kemudiannya menjadi sederhana apabila kesan asas mula mereda.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 0.7 peratus.

Eksport terus berkembang sebanyak 31.0 peratus pada Mac 2021 berbanding 17.6 peratus yang direkodkan dalam bulan sebelumnya selepas didorong oleh eksport perkilangan yang kukuh.

Mengikut destinasi, pengembangan ini disokong oleh eksport ke China, AS dan Singapura.

“Pada masa hadapan, eksport dijangka mendapat sokongan daripada pertumbuhan global yang kembali pulih, permintaan terhadap eksport elektronik yang berterusan dan harga komoditi yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, prospek perdagangan terus bergantung pada perkembangan pandemik COVID-19,” kata BNM. BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close