Kedai RuncitPilihan Editor

Pengusaha Bas Kelantan Mohon Kerajaan Teruskan Moratorium Hingga COVID-19 Berakhir

Persatuan Pengusaha Bas Kelantan memohon kerajaan mempertimbangkan agar pemberian bantuan moratorium kepada semua pengusaha bas, diteruskan tanpa syarat sehingga pandemik COVID-19 di negara ini berakhir.

Presidennya Che Ibrahim Che Ismail berkata, pihaknya turut memohon agar pemberian bantuan moratorium ini turut melibatkan pinjaman yang dilakukan dengan syarikat-syarikat kredit, dan tidak hanya terhad kepada institusi-institusi perbankan.

“Pengenaan faedah akibat penjadualan semula pinjaman daripada bank dan syarikat kredit harus turut dikecualikan, selain pelaksanaannya perlu dipantau secara terus oleh Bank Negara Malaysia atau agensi-agensi kerajaan yang difikirkan sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Ibrahim berkata pihaknya turut memohon agar pelaksanaan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas di bawah Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan, seperti Inisiatif 21 yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Jan lepas, dapat disegerakan.

“Selain daripada bas persiaran dan teksi, ia hendaklah turut melibatkan bas ekspres supaya semua pinjaman daripada syarikat sewa beli dan pajakan, dapat distruktur semula bagi menikmati moratorium selama 12 bulan serta pembayaran balik bulanan yang lebih rendah,” katanya.

Beliau turut berharap agar bantuan one-off RM500 menerusi Pakej Bantuan PERMAI turut diberikan kepada pemandu bas ekspres, memandangkan mereka juga terkesan dengan bencana wabak itu sehingga menyebabkan sebilangan besar terpaksa bercuti tanpa gaji atau diberhentikan.

Dalam pengumuman PERMAI itu, Muhyiddin turut berkata bantuan berkenaan akan diberikan kepada 14,000 pemandu pelancong dan 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close