Pilihan EditorTurun Naik

Meneladani Cara New Zealand Kawal Jangkitan Wabak – Pakar Akademik

Oleh Dr Saleha Shahar

 

Selepas setahun COVID-19 bermula, jumlah kes kini melebihi 91 juta dengan anggaran dua kematian bagi setiap 100 jangkitan. Hampir setiap negara mencatatkan penguncupan ekonomi. Pakar ekonomi berpendapat, pemulihan ekonomi negara bergantung keupayaan mengawal pandemik.

Namun, dua negara dilihat menunjukkan tanda pemulihan baik, iaitu New Zealand dan Taiwan.

Taiwan berpengalaman membendung sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2003 dan H1N1 (2009). New Zealand pula seperti kebanyakan negara lain kali pertama mengharungi ancaman pandemik.

Justeru, New Zealand negara terbaik untuk diperhalusi strategi kawalan sebagai panduan buat Malaysia.

Dua tunjang tindakan menghadapi pandemik ialah pengurusan biosekuriti dan komunikasi. Biosekuriti ialah rancangan dan amalan mengekang tularan penyakit berjangkit, dilaksanakan serentak mengikut model swiss cheese pengurusan risiko bagi mengurangkan kesan kegagalan mana-mana rancangan atau amalan.

Masyarakat Malaysia sedia maklum empat amalan biosekuriti, iaitu menjaga kebersihan tangan, menggunakan pelitup muka, penjarakan fizikal dan merekod sejarah pergerakan.

New Zealand memperkenalkan amalan biosekuriti kelima, iaitu kekal di rumah apabila tidak sihat. Justeru, negara itu berjaya menghentikan jangkitan komuniti seawal Oktober tahun lalu.

New Zealand menilaikan empat tahap risiko jangkitan dengan tahap keempat mewakili risiko jangkitan tertinggi. Ia dibuat bersandarkan dua perkara pokok, iaitu aktiviti kelangsungan hidup dan unit selamat kehidupan.

Aktiviti kelangsungan hidup terbahagi kepada aktiviti asasi dan selain aktiviti asasi. Aktiviti asasi merujuk pembekalan dan perolehan keperluan asas, kesihatan serta utiliti.

Unit selamat kehidupan pula merujuk kepada individu membentuk satu unit isi rumah atau gelembung isi rumah.

Kedua-dua perkara ini paksi rancangan strategi kawalan di setiap tahap risiko. Strategi di tahap risiko keempat paling ketat melalui penutupan menyeluruh ataupun perintah berkurung.

Strategi digunakan dalam tahap risiko pertama hingga ketiga adalah sama, tetapi dengan ketegaran berbeza. Contohnya, perkumpulan ialah norma kebanyakan aktiviti seperti bekerja, persekolahan atau rekreasi.

Penjarakan fizikal pula strategi berkumpul secara selamat untuk ketiga-tiga tahap risiko. Bagaimanapun, penjarakan akan diperketatkan melalui kaedah mengehadkan bilangan individu apabila risiko meningkat.

Penjarakan fizikal mutlak ialah strategi paling tegar apabila risiko di tahap tertinggi. Ketika ini, perkumpulan tidak lagi dibenarkan dan semua aktiviti terhad kepada asasi.

Contoh lain, interaksi sosial ialah norma kehidupan bermasyarakat dengan individu tidak dikenali boleh saling berjumpa ketika urusan harian seperti rekreasi dan membeli-belah.

Ketika tahap risiko pertama dan kedua, semua aktiviti berjalan dengan penjarakan fizikal. Namun, apabila risiko meningkat, penjarakan fizikal diberatkan dan semua aktiviti terarah menghalang pertembungan unit gelembung isi rumah.

Keutamaan diberikan kepada aktiviti di rumah dan transaksi tanpa sentuh seperti pandu lalu serta layan diri. Strategi ini diperkukuhkan dengan mengehadkan kawasan aktiviti.

Tahap risiko membentuk ruang lingkup menentukan jenis strategi kawalan. Pengecaman akan mengelakkan keadaan kurang atau salah strategi yang menyebabkan amalan biosekuriti tidak berkesan.

Strategi biosekuriti perlu disampaikan secara berkesan kepada orang ramai, mengambil kira rencam situasi dan latar belakang.

Strategi biosekuriti New Zealand disampaikan tanpa menekankan spesifikasi terikat aktiviti, kawasan atau masa. Ia dikhuatiri mengehadkan kebolehlaksanaan secara meluas.

Contohnya, penetapan saiz radius kawasan sebagai kawalan pergerakan tidak praktikal. Penetapan saiz radius kawasan, walaupun tidak menghalang capaian keperluan asasi di bandar raya, berkemungkinan mendatangkan masalah bagi perkampungan kecil.

Masa juga tidak digunakan sebagai strategi kawalan kerana ia boleh bertentangan matlamat penjarakan dan pengurangan bilangan individu. Komunikasi strategi biosekuriti lebih menegaskan pencapaian matlamat penjarakan dan pengurangan bilangan, berbanding cara ia dicapai.

Penilaian tahap risiko jangkitan secara tidak langsung merencanakan implikasi strategi kawalan terhadap usaha kelangsungan hidup. Contohnya, arahan ‘kekal di rumah apabila tidak sihat’ akan menjejaskan keupayaan individu bergaji harian.

Lantaran itu, strategi biosekuriti New Zealand turut memperuntukkan sokongan hidup untuk individu, kumpulan kemasyarakatan, pemilik perniagaan, malah warga asing terkandas.

Ruang aduan disertakan bagi mengelakkan penindasan yang akan menyukarkan usaha kawalan, seperti diskriminasi latar belakang, penindasan hak penggajian, pemberhentian tidak berhemah dan hak tempat kerja selamat.

Melihat ke belakang, New Zealand berjaya menghentikan jangkitan komuniti dalam tempoh tujuh minggu perintah berkurung. Peruntukan sokongan dan ruang bersuara membantu kepatuhan strategi.

Semua maklumat strategi, sokongan dan aduan dicapai daripada satu laman web. Mengambil iktibar ini, Malaysia masih boleh menambah baik strategi sedia ada supaya ia mudah diguna pakai. – BERITA HARIAN

 

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Biorisk Profesional

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close